Jualan Ehsan Rahmah di Puchong 7 Jun, beras RM12 dan ayam RM10 antara tawaran

5 Jun 2026, 3:00 AM
Jualan Ehsan Rahmah di Puchong 7 Jun, beras RM12 dan ayam RM10 antara tawaran

SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk sekitar Puchong berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih rendah menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Taman Rekreasi Wawasan pada 7 Jun ini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata program itu merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian susulan peningkatan kos sara hidup.

“Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri untuk terus membantu rakyat menangani kos sara hidup.

“Antara barangan yang dijual termasuk beras 5 kilogram pada harga RM12, minyak masak 2 kilogram RM10, ikan RM6.50 per pek, ayam RM10 seekor, daging RM10 per pek, telur gred B RM9 sepapan dan sardin RM5.50 setin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu akan berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sehubungan itu, orang ramai disaran hadir lebih awal memandangkan jumlah barangan yang ditawarkan adalah terhad dan dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Sze Han turut memaklumkan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menggunakan bantuan masing-masing untuk membuat pembelian sepanjang program berkenaan.

Pelaksanaan JER merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga mampu milik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.