SHAH ALAM, 9 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara meneruskan tradisi kebajikan sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi program pengumpulan dan pengagihan beras kepada komuniti setempat di Pusat Khidmat DUN Kinrara.
Program tahunan itu bertujuan membantu golongan memerlukan, selain mengukuhkan hubungan masyarakat berbilang kaum melalui semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial.
Wakil rakyat Kinrara, Ng Sze Han berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum dan usia.
“Setiap tahun program ini dianjurkan sebagai simbol kebersamaan komuniti. Walaupun diadakan sempena Tahun Baharu Cina, nilai yang dibawa adalah sejagat iaitu saling membantu dan prihatin terhadap sesama masyarakat,” kata Sze Han menerusi video yang dimuat naik di media sosialnya.
Beliau berkata, program kali ini turut mendapat sokongan Pertubuhan Kebajikan Wanita (PEKAWANIS) yang membantu melancarkan proses pengumpulan dan pengagihan beras kepada penerima.
“Kerjasama ini membuktikan usaha kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila digerakkan secara bersama oleh komuniti,” katanya.
Menurut Sze Han, pendekatan penyampaian mesej kebajikan turut disesuaikan dengan perkembangan semasa melalui penggunaan medium digital dan kandungan kreatif bagi mendekati golongan muda.
“Walaupun gaya penyampaian berubah, mesejnya kekal sama iaitu memupuk budaya memberi dan mengukuhkan perpaduan komuniti merentas generasi di DUN Kinrara,” katanya.


