SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerja-kerja naik taraf Jalan Iskandar di Meru, Klang kini mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Mei depan.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek naik taraf yang bermula Februari itu menggunakan teknologi Sistem Pratuang Skematik bagi memastikan struktur jalan lebih kukuh serta kos pelaksanaan lebih efektif.
“Insya-Allah, Projek yang menelan belanja sebanyak RM1.25 juta ini dijangka siap pada awal Mei dan akan dapat memudahkan urusan penduduk Bukit Kapar dan Meru,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak ketika dihubungi memaklumkan kerja naik taraf jalan yang mengalami isu mendapan itu kini berada pada fasa akhir pelaksanaan.
Menurutnya, pemasangan panel menggunakan SPS telah siap sepenuhnya, manakala kerja pemasangan pengikat atau capping beam sedang dijalankan.
“Panel menggunakan SPS kini telah siap dipasang dan kerja pemasangan pengikat atau capping beam sedang dilaksana.
“Sebelum kerja naik taraf dimulakan, JKR melaksana kerja utiliti bagi mengesan kabel-kabel serta pengalihan paip-paip Air Selangor,” katanya.
Semalam, EXCO Infrastruktur itu memaklumkan kerajaan negeri kekal meneruskan Program Turapan Mega tahun ini walaupun berdepan peningkatan kos akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata satu sesi perbincangan bersama beberapa agensi termasuk JKR akan diadakan minggu depan bagi meneliti aspek pelaksanaan projek secara menyeluruh.
Program Turapan Mega yang diperkenalkan sejak 2023 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membaik pulih serta menyelenggara infrastruktur jalan negeri secara berperingkat dengan peruntukan RM55 juta tahun ini, meningkat RM5 juta berbanding tahun sebelumnya.








