Projek RM130 juta tingkat akses Bandar Country Homes ke Rawang

13 Sep 2026, 7:08 AM
Projek RM130 juta tingkat akses Bandar Country Homes ke Rawang

SHAH ALAM, 13 SEPT: Laluan utama di Bandar Country Homes (BCH) bakal dinaik taraf menerusi projek Jalan B27 bernilai kira-kira RM130 juta bagi melancarkan pergerakan penduduk ke pekan Rawang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata projek yang dijangka bermula sekitar 2026 atau 2027 itu melibatkan laluan B27 di hadapan AEON Bandar Country Homes.

Menurutnya, naik taraf berkenaan dijangka memberi manfaat khususnya kepada penduduk Bandar Country Homes dan Sungai Bakau yang menggunakan laluan itu sebagai antara akses utama ke pekan Rawang.

Projek tersebut merupakan antara lima inisiatif baharu yang dirancang di kawasan berkenaan, selain penambahbaikan kemudahan sukan, pembangunan pasar moden dan penyediaan ruang komuniti.

"Apabila siap nanti, perjalanan dari Country Homes dan Sungai Bakau ke Pekan Rawang yang biasanya mengambil masa 20 hingga 30 minit dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar 10 minit sahaja.

"Ini pasti dapat memudahkan perjalanan harian penduduk," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, sejumlah RM50,000 diperuntukkan bagi menaik taraf gelanggang bola keranjang Fasa 2 yang dijangka bermula pada 2026, dengan menyediakan kemudahan lebih baik dalam aktiviti sukan, malah ruang berkenaan turut boleh dimanfaatkan bagi pelbagai aktiviti persatuan setempat dan komuniti.

Dalam pada masa sama, sebanyak RM 250,000 turut diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan sukan warga emas serta menaik taraf gelanggang bola tampar di Fasa 4.

Usaha tersebut bertujuan menyediakan ruang bersukan yang lebih selamat dan selesa untuk penduduk, selain menghidupkan semula gelanggang bola tampar berkenaan supaya kembali dimanfaatkan oleh komuniti setempat.

Turut diberi perhatian ialah sistem pengudaraan di tingkat atas Pasar Moden Bandar Country Homes dengan peruntukan RM 50,000 bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pengunjung.

"Keadaan ruang berkenaan yang agak panas dan mempunyai pengudaraan kurang baik turut menjadi perhatian ramai penduduk, khususnya warga emas yang menggunakan ruang tersebut untuk makan dan berehat selepas membeli-belah," tambahnya.

Wei Kiat menambah, penduduk BCH akan turut menerima ruang tambahan untuk aktiviti komuniti menerusi Dewan Komuniti Kota Emerald, di sebelah Garland 2 yang kini telah dibuka untuk sewaan.

Kemudahan tersebut boleh dimanfaatkan oleh penduduk bagi pelbagai aktiviti komuniti sekali gus menambah pilihan ruang untuk penganjuran program setempat.

Wei Kiat berkata kesemua usaha berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan untuk memastikan pembangunan di kawasan BCH diberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

"Kita akan usahakan satu demi satu.

"Bukan sekadar tentang projek dan angka, yang lebih penting ialah setiap penambahbaikan ini dapat memudahkan kehidupan penduduk, memberikan keselesaan yang lebih baik serta menjadikan kawasan kita lebih aktif dan meriah," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.