Program Turapan Mega diteruskan walaupun kos meningkat

26 Apr 2026, 12:00 AM
Program Turapan Mega diteruskan walaupun kos meningkat
Program Turapan Mega diteruskan walaupun kos meningkat
Program Turapan Mega diteruskan walaupun kos meningkat
Program Turapan Mega diteruskan walaupun kos meningkat

SHAH ALAM, 26 APRIL: Program Turapan Mega dengan peruntukan RM55 juta akan diteruskan tahun ini, walaupun kos pelaksanaan dijangka meningkat susulan ketidaktentuan ekonomi dunia.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya minggu depan bagi memutuskan semua aspek pelaksanaan.

“Memang akan ada kesan terutama pada bahan premix. Kita akan tengok semua aspek, untuk sesuaikan dengan harga supaya kita mampu jalankan kerja turapan.

“Jadi Program Turapan Mega akan diteruskan, cuma ada kaedah yang akan kita gunakan dan macam mana untuk tangani isu kenaikan harga barang,” katanya selepas merasmikan Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2027 di sini, semalam.

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM55 juta untuk menjayakan program berkenaan, meningkat RM5 juta berbanding sebelum ini.

Program yang mula diperkenalkan pada 2023 ialah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur jalan negeri secara menyeluruh.

Untuk tahun ini, inisiatif itu diperluas ke jalan kampung dan kawasan pertanian dengan penggunaan teknologi baharu dari Indonesia, iaitu Sistem Tetulang Pratuang.

Teknologi tersebut sudah diuji dan terbukti mampu menyelenggara tanah berstruktur lembut dengan lebih berkesan, terutama di kawasan ban.

Selain itu, kerja penyelenggaraan dan tampalan jalan di Selangor menjadi lebih cekap dan pantas menerusi penggunaan jentera mesra alam, iaitu Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR).

Jentera untuk kegunaan InfraSel Sdn Bhd itu adalah teknologi turapan dari Jepun berasaskan kaedah guna semula dan kitar semula bahan jalan raya sedia ada.

Jentera AsRR itu adalah tambahan kepada penggunaan jentera berteknologi tinggi dari United Kingdom, Jetpatcher yang mula digunakan pada 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.