Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari berperingkat, perincian diumum 29 Oktober

22 Okt 2026, 8:34 AM
Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari berperingkat, perincian diumum 29 Oktober
Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari berperingkat, perincian diumum 29 Oktober
Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari berperingkat, perincian diumum 29 Oktober

SHAH ALAM, 22 OKT: Kerja menaik taraf persimpangan di Persiaran Mokhtar Dahari sedang dilaksanakan secara berperingkat, dengan butiran lanjut mengenai perkembangan projek dijangka diumum pada 29 Oktober ini.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim berkata laluan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala pembinaan asalnya menggunakan sumbangan pemaju di kawasan terbabit.

Menurutnya, pelaksanaan projek memerlukan masa dan maklumat mengenai bentuk kerja naik taraf akan diperincikan bersama senarai inisiatif yang telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Izham meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan pelaksanaan projek berkenaan dengan kemalangan membabitkan sebuah lori dan 11 kereta di Persimpangan Alam Budiman pada 9 Oktober lalu.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim pada sidang akbar selepas Majlis penutup Bengkel Friend of Rivers (FOR) Negeri Selangor 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) pada 22 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berpandangan insiden tersebut melibatkan faktor pengaruh dadah dan sikap pemandu, bukannya masalah struktur jalan raya.

“Projek ini memerlukan masa untuk dilaksanakan. Kita minta supaya ia tidak dikaitkan dengan isu kemalangan baru-baru ini.

“Ia melibatkan kes pengaruh dadah dan juga sikap pemandu itu kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Friends of Rivers (FOR) Negeri Selangor 2026 di Selangor International Trade Center (SITC) Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, dua individu dilaporkan kritikal manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan 11 kereta di lampu isyarat Alam Budiman pada 9 Oktober lalu.

Susulan kejadian, polis mengesahkan pemandu lori berusia 51 tahun itu positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin berdasarkan ujian saringan air kencing.

Dua individu kritikal manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan 11 kereta di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, Shah Alam pada 9 Oktober 2026. Foto JBPM Selangor

Siasatan awal turut mendapati pemandu berkenaan mendakwa mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.

Pada 12 Oktober lalu, JKR Selangor memaklumkan satu lorong tambahan sepanjang kira-kira 300 meter akan dibina di Persiaran Mokhtar Dahari (B49) bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik di Persimpangan Alam Budiman.

Kerja awal sedang dilaksanakan, manakala pembinaan fizikal dijangka bermula pertengahan 2027 dengan mengambil kira keperluan perlindungan dan pengalihan utiliti.

Projek dari arah Puncak Alam ke Shah Alam itu turut merangkumi penambahan lampu jalan, naik taraf lampu isyarat serta kerja keselamatan jalan raya.

Difahamkan, lebih 200,000 penduduk menggunakan laluan berkenaan setiap hari, merangkumi kawasan Alam Budiman, Puncak Perdana, Puncak Alam, Saujana Utama, Nusa Rhu dan Setia Alam Seksyen U13.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.