Harapan dan doa rakyat iringi misi bantuan ke Gaza

6 Apr 2026, 6:52 AM
Harapan dan doa rakyat iringi misi bantuan ke Gaza

SHAH ALAM, 6 APR: Doa dan harapan daripada pelbagai agensi serta warga Selangor mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang akan mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza menerusi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang akan mengiringi beliau sepanjang pelaksanaan bantuan tersebut.

Sokongan itu dizahirkan susulan pelantikan Amirudin sebagai wakil rasmi negara bagi mengetuai misi berkenaan yang digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan lain.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata seluruh jentera Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor mendoakan keselamatan serta kelancaran misi tersebut.

“Semoga setiap langkah dilindungi, dipermudahkan dan diberkati demi kemanusiaan sejagat,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menzahirkan harapan agar misi itu berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat Palestin yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Kumpulan Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan misi tersebut melibatkan penghantaran 30 kontena yang mengandungi kira-kira 374 tan bantuan kemanusiaan sebagai simbol solidariti Malaysia terhadap Gaza.

“Seluruh warga kerja mendoakan agar Dato’ Seri Amirudin dan Mohamed Fareed dikurniakan kesihatan yang baik serta dilindungi sepanjang misi ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut merakamkan doa agar perjalanan misi berkenaan dipermudah dan membawa hasil yang bermakna.

“Semoga misi ini diberkati dan kembali dengan jayanya,” menurut kenyataan itu.

Pada 3 April lalu, Pejabat Dato' Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.

Sekretariat Global Sumud Flotilla semalam mengumumkan misi akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.

Misi kemanusiaan itu, yang disifatkan terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil, dijadual berlepas dari Barcelona melibatkan 80 kapal serta lebih 1,000 aktivis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.