Peserta pasukan bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kali kedua sudah berlayar menuju Gaza pada 12 April.
Ribuan penyokong perjuangan Palestin yang mendukung misi pelayaran tersebut mengiringi pelepasan kumpulan kapal itu dari Barcelona, Sepanyol.
Majlis pelepasan dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari sebagai menteri penaung misi GSF, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol Haznah Md Hashim dan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Alim Araby.
Pada Oktober tahun lalu, GSF berjaya menarik perhatian dunia mengenai kekejaman Israel terhadap derita penduduk Gaza yang dibantai sejak dua tahun sebelumnya.
Sekarang, walau perjanjian damai dibuat tidak lama selepas pelayaran GSF yang pertama, serangan terhadap warga Gaza masih berlanjutan.
Malah, perjanjian itu memberi kuasa kepada Israel untuk menguasai separuh wilayah kecil tersebut dalam lingkungan "garisan kuning".
Lebih 2 juta warga Gaza terpaksa hidup berhimpit-himpit di celah-celah runtuhan bangunan kediaman, sekolah, hospital, kem pelarian dan masjid. Semua video dan foto kezaliman di tanah malang ini hanya menambahkan rasa sakit hati.

Pembentukan Lembaga Keamanan awal tahun ini oleh pentadbiran Presiden Donald Trump didakwa bertujuan membangun semula wilayah tersebut. Namun, ia mengundang tanda tanya dan kontroversi.
Kecaman terhadap lembaga ini termasuklah mandat yang tidak jelas, selain menggugat kuasa perundangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kuasa yang besar di tangan Trump, sebagai pengerusi lembaga itu, membolehkan beliau dan Amerika Syarikat menguasai keahlian dan keputusan badan tersebut.
Sebulan selepas Lembaga Keamanan diumum, Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.
Perang itu, yang masih berlarutan saat ini, mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei dan barisan pemimpin strategik negara itu.
Iran terbabit secara langsung dalam krisis Gaza sejak Israel membunuh pemimpin Hezbollah di Lubnan, tokoh Hamas (di Iran) dan pemimpin Pasukan Pengawal Revolusi Islam (di Syria).
Kemuncaknya, Israel serang Iran dalam perang 12 hari pada Jun tahun lepas. Seperti nasib Palestin selama ini, tiada yang adil dapat dilihat dalam konflik jika melibatkan Israel.
Sekarang perang 45 hari dengan Iran telah menjejaskan ekonomi dunia apabila bekalan minyak dan produk petrokimia tersekat susulan penutupan Selat Hormuz. Tiada tanda jelas jalan damai.
Selama ini sudah banyak buku, filem, kajian dan dokumentari membongkar kekejaman Israel sejak negara haram itu dibentuk pada 1948 tetapi masih tiada tindakan diambil oleh masyarakat antarabangsa.
Hanya konflik terbaru di Gaza sejak 7 Oktober 2023 perlahan-lahan membuka mata warga dunia yang merangsang sambutan terhadap pelayaran GSF. Kini dunia tidak lagi melupakan Gaza.
Pengeboman besar-besaran selama dua tahun di wilayah itu (lebih kurang jarak dari Dataran Merdeka ke Pelabuhan Klang) membangkitkan kemarahan penduduk dunia.
Demonstrasi dianjurkan saban minggu sehingga makin banyak negara mula mengiktiraf negara Palestin di PBB. Kempen GSF sejurus sebelum gencatan pada 3 Oktober 2025 menjana sokongan meluas warga dunia melalui siaran langsung di media sosial.
Perisian penjejak misi bantuan makanan dan perubatan tersebut Rectangle mendapat sambutan 2.5 juta dan 3.5 juta pengunjung dalam tempoh dua hari hujung September lepas.
Liputan berhubung sekatan Israel di laut terhadap kapal-kapal GSF membakar kemarahan ramai di banyak negara. Namun krisis panjang di Palestin tidak boleh difahami melalui berita seperti ini.
Kisah derita Gaza hanya boleh difahami dengan kajian dan buku.
Untuk itu, Kerajaan Selangor menterjemah buku penting Gaza: An Inquest into Its Martyrdom (2018), karya ahli akademik berwibawa Norman Finkelstein.

Diusaha oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Tangan-tangan Berdarah di Gaza memaparkan penindasan luar biasa di wilayah tersebut.
Penyelidik dan aktivis popular isu Palestin itu menyifatkan kejadian di Gaza selama ini sebagai "kemusnahan yang sengaja dicipta manusia" (human-made human disaster).
Beliau menulis karya ini untuk membongkar lapisan demi lapisan pembohongan yang disebar dalam media Barat dan naratif antarabangsa.
"[Selama ini] Gaza itu tentang Satu Pembohongan Besar yang berdiri daripada seribu pembohongan kecil — maka ia sering kelihatan rumit dan sukar difahami.
"Tujuan buku ini ialah untuk menangkis Pembohongan Besar itu dengan mendedahkan setiap satu daripada pembohongan kecil tersebut," katanya.
Profesor hubungan antarabangsa terkenal John Mearsheimer menyifatkan penulis dan buku ini sangat bagus.
"Tiada sarjana yang telah memberikan lebih banyak pencerahan tentang layanan kejam Israel terhadap rakyat Palestin selain Norman Finkelstein.
"Dalam [buku ini] Gaza, beliau dengan teliti menghuraikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah kecil itu semasa Operasi Cast Lead dan Protective Edge, sambil mematahkan mitos yang dicipta oleh Israel dan para penyokongnya untuk menyembunyikan peristiwa-peristiwa yang mengejutkan ini."
Mengandungi 13 bab dalam empat bahagian, buku terbitan Universiti California ini menghuraikan panjang lebar pembantaian ke atas Gaza dalam dua operasi tentera Israel itu, seperti disebut Mearsheimer di atas.
Ia pasti mendatangkan manfaat yang mendalam kepada pembaca yang mahu memahami Gaza dan menyelami sengsara hampir 80 tahun.
Karya lain pengarang ini termasuklah: Gaza's Gravediggers: An Inquiry Into Corruption in High Places (2025), Old Wine, Broken Bottle: Ari Shavit's Promised Land (2014), Beyond Chutzpah (2005), The Holocaust Industry (2000), dan Image and Reality of the Israel–Palestine Conflict (1995).









