MB wakili PM ketuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza 5 April

3 Apr 2026, 8:24 AM
MB wakili PM ketuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza 5 April
MB wakili PM ketuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza 5 April
MB wakili PM ketuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza 5 April

SHAH ALAM, 3 APRIL: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diamanahkan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0, yang dijangka berlepas pada 5 April ini.

Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan, bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.

“Dato’ Menteri Besar akan mengetuai delegasi kemanusiaan, memastikan pelepasan kontena di Kaherah berjalan selamat.

”Beliau juga akan mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza dan seterusnya memantau pelepasan delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol,” menurut kenyataan rasmi.

Kenyataan itu turut menyeru seluruh warga Selangor dan Malaysia mendoakan keselamatan dan kelancaran misi yang diketuai oleh Amirudin serta setiap petugas.

“Selangor dan Malaysia akan terus menegaskan dan menegakkan keadilan bagi nasib warga Palestin yang masih dikepung dan dizalimi rejim Zionis Israel,” tambah kenyataan berkenaan.

Perdana Menteri sebelum ini mengesahkan bahawa Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0, yang bakal disertai lebih 80 negara seluruh dunia.

Menurut Anwar, pembabitan ini adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa, menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.