Global Sumud Flotilla akan berlepas ke Gaza minggu depan

5 Apr 2026, 12:57 PM
Global Sumud Flotilla akan berlepas ke Gaza minggu depan
Global Sumud Flotilla akan berlepas ke Gaza minggu depan
Global Sumud Flotilla akan berlepas ke Gaza minggu depan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Global Sumud Flotilla akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin, umum sekretariatnya hari ini.

Misi kemanusiaan itu, yang disifatkan yang terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil, bakal berlepas dari Barcelona melibatkan 80 buah kapal dan disertai lebih 1,000 aktivis.

“Global Sumud Flotilla berlayar kerana terlalu tinggi harga yang terpaksa ditanggung sekiranya tidak berbuat apa-apa,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Barcelona.

“Ini adalah penentangan langsung terhadap tembok, sekatan, dan kekerasan sistemik (Israel ke atas Palestin) serta memicu gerakan politik dan solidariti tersusun di seluruh dunia.”

Misi itu juga akan disertai kumpulan aktivis Malaysia yang dijadual akan diumumkan oleh penganjurnya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam satu sidang media esok.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari dijadual memantau pelepasan Global Sumud Flotilla di Barcelona mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebelum itu akan mengetuai misi bantuan Malaysia ke Palestin yang dijadual dikirim melalui pintu sempadan Rafah di Mesir, Jumaat depan.

Bantuan itu melibatkan 30 kontena yang membawa pelbagai keperluan seberat 374 tan.

Israel memperketatkan kepungannya ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 selepas mengepung wilayah itu sejak awal tahun 1990-an.

Misi memecahkan kepungan Israel ini adalah yang ketiga dalam tempoh 12 bulan dan yang kedua melibatkan Global Sumud Flotilla.

Dua misi pada tahun lalu terkandas di perairan Gaza selepas dipintas dan ditahan oleh tentera Israel.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.