SHAH ALAM, 4 APRIL: Pelantikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.
"Saya memang telah ambil keputusan tidak menghantar mana-mana wakil, namun kerana ia melibatkan kontena besar serta rundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak Qatar, saya perlu minta seorang wakil kerajaan untuk memudahkan urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh hari ini, lapor Sinar Harian.
Semalam Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin diamanahkan Anwar untuk mengetuai misi berkenaan yang dijangka berlepas esok.

Misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan, bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.
Amirudin juga akan mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza seterusnya memantau pelepasan delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Mengulas lanjut Anwar berkata, melalui pelantikan Amirudin itu diharapkan proses rundingan dan penghantaran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Menurutnya, situasi yang dihadapi rakyat di Gaza ketika ini sangat kritikal dan memerlukan tindakan segera daripada pelbagai pihak.
Anwar sebelum ini mengesahkan Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0, yang bakal disertai lebih 80 negara seluruh dunia.
Menurutnya, pembabitan itu adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa, menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama.









