Syawal Selangor disambut meriah, rakyat tunai Solat Aidilfitri bersama sultan

22 Mac 2026, 12:00 AM
Syawal Selangor disambut meriah, rakyat tunai Solat Aidilfitri bersama sultan

Umat Islam di Malaysia khususnya di Selangor memulakan sambutan Syawal dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid serta surau di seluruh negeri dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan.

Cuaca baik dimanfaatkan sepenuhnya dengan mereka mula memenuhi masjid dan surau seawal 7.30 pagi untuk bertakbir sebelum menunaikan solat sunat itu serta mendengar khutbah raya.

Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di negeri itu pada 1 Syawal.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Selesai solat, amalan sambutan Aidilfitri diteruskan dengan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung di rumah saudara mara serta jiran, yang menjadi kekuatan perpaduan sesama kaum di negara ini.

Begitu juga, sebilangan besar orang ramai turut mengambil kesempatan untuk menziarah kubur mendoakan mereka yang telah pergi supaya berada dalam rahmat Allah SWT.

Sehari sebelum Syawal, walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan konflik di Asia Barat yang berpotensi mengakibatkan harga makanan naik, ia sama sekali tidak menjejaskan persiapan sambutan untuk perayaan kali ini.

Orang ramai dilihat tetap membeli-belah dan berbelanja membuat persiapan termasuk membeli pakaian, lemang serta ketupat, kuih-muih dan lain-lain demi memastikan Aidilfitri yang dirai tetap meriah dalam sederhana.

Lensa Jurufoto FIKRI YUSOF, AHMAD ZAKKI JILAN dan IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH berkesempatan merakamkan warna warni Aidilfitri yang penuh meriah walaupun dirai dalam persekitaran penuh sederhana.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mendengar khutbah selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mac 2026.

Orang ramai mendengar khutbah selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mac 2026.

Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Semenyih pada 21 Mac 2026.

Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah mendengar khutbah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Semenyih pada 21 Mac 2026.

Orang ramai menziarahi kubur ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Gombak pada 21 Mac 2026.

Pekerja sedang membakar lemang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan Media Selangor di Lemang Daun Lerek Greenwood, Gombak pada 21 Mac 2025.

Orang ramai membeli barang keperluan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di Pasar Pagi Seksyen 6, Shah Alam pada 19 Mac 2026.

Mohd Sapawi Abdul Rani (kiri) menerima kunjungan anak dan cucunya pada Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Sungai Balak, Kajang pada 21 Mac 2026.

Muhamad Madany Maarof bermain bunga api ketika malam terakhir Ramadan di Kampung Parit Baru Seri Medan Batu Pahat, Johor pada 20 Mac 2026.

Kunjung mengunjung sanak saudara sempena perayaan Aidilfitri di Kampung Sungai Balak, Kajang pada 21 Mac 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.