Tingkat disiplin kewangan sepanjang Syawal

19 Mac 2026, 6:01 AM
Tingkat disiplin kewangan sepanjang Syawal
Tingkat disiplin kewangan sepanjang Syawal

SHAH ALAM, 19 MAC: Orang ramai disaran mengetatkan disiplin kewangan termasuk berbelanja dengan berhemah sepanjang Aidilfitri ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat konflik Asia Barat.

Menurut penganalisis ekonomi, semua pihak juga tidak digalakkan membuat hutang baharu bagi memastikan isi rumah sentiasa sedia menghadapi kemungkinan kos sara hidup naik.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata orang ramai juga usah mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang dipapar di media sosial hingga mendorong perbelanjaan luar kawalan.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

“Dalam situasi ini, rakyat perlu lebih berhati-hati urus kewangan, elak membuat hutang baharu dan berbelanja berhemah supaya tidak terbeban jika berlaku kenaikan kos hidup," katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga menyifatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak meletakkan negara dalam keadaan agak bernasib baik berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara.

Orang ramai mengunjungi Free Market untuk mencari pakaian sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri secara percuma di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat pada 8 Februari 2026. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, Dr Ahmed Razman berkata Malaysia perlu mengurus kedudukan fiskal dengan baik kerana kelebihan itu tidak bertahan dalam tempoh panjang tanpa pengurusan berkesan.

Beliau berkata kerajaan tidak perlu tergesa-gesa memansuh subsidi minyak secara menyeluruh, sebaliknya mengekal subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendekatan itu boleh dibuat dengan mengurangkan had subsidi petrol sedia ada iaitu 300 liter kepada jumlah lebih sesuai bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan,” katanya.

Konflik Asia Barat tercetus pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Iran atas alasan melumpuhkan keupayaan membina nuklear.

Serangan yang mengakibatkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei maut mendorong Iran menyerang Israel dan pangkalan AS di wilayah itu menggunakan peluru berpandu dan dron.

Iran juga menutup Selat Hormuz, laluan penting perdagangan dunia, menyebabkan harga minyak melambung ekoran aliran pergerakan terjejas. Setakat 16 Mac, belum ada tanda-tanda konflik berakhir.

Justeru, Kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat diketuai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 11 Mac bagi menilai kesan dan langkah bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Beberapa tindakan dibuat antaranya mengekal subsidi RON95 pada kadar RM1.99 meskipun kadar bulanannya mencecah RM3.2 bilion berbanding RM700 juta sebelum konflik Asia Barat berlaku.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan membatal majlis rumah terbuka Aidilfitri untuk berjimat cermat.

Menteri dan anggota pentadbiran juga dihad dari membuat ke luar negara kecuali urusan yang telah dijadual dan wajib dihadiri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.