SHAH ALAM, 17 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa penduduk Selangor mengamalkan kesederhanaan serta memperkukuh perpaduan menjelang Aidilfitri, ketika dunia berdepan cabaran peperangan dan ketidaktentuan ekonomi.
Dalam perutusan Aidilfitrinya, beliau berkata Ramadan yang berlalu membawa makna besar kepada umat Islam, khususnya dalam memahami erti kemenangan sebenar bagi mereka yang berpuasa.
“Sudah pasti masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar mardhatillah.
“Di samping itu, kemenangan sebenar dicapai oleh mereka yang berjaya mengawal keinginan, nafsu dan jiwa dengan menampilkan perilaku yang baik sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak leka dengan kehidupan dunia, sebaliknya terus bersyukur, menjaga hubungan sesama manusia dan memperbanyak amalan ibadah.
Mengulas situasi semasa, Amirudin berkata ketika dunia berhadapan konflik dan ketidaktentuan ekonomi, rakyat perlu berpegang kepada sikap sederhana bagi membina ketahanan diri dan mental.
“Detik-detik ini mengingatkan kita untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Selangor kerana kebersamaan akan membantu kita menghadapi sebarang ancaman luar,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat meneruskan amalan baik sepanjang Ramadan seperti membantu golongan fakir, anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, kesederhanaan yang diamalkan hari ini akan memberi impak jangka panjang kepada generasi akan datang agar terus hidup bermaruah dan berwawasan.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata Selangor mencatat hasil tertinggi dalam sejarah pada 2025, iaitu berjumlah RM3.021 bilion.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 kepada 72,850 penjawat awam, termasuk penjawat awam Persekutuan di negeri ini.
Penjawat awam negeri akan menerima sebulan gaji, manakala penjawat awam Persekutuan menerima RM300, yang akan disalurkan bermula 19 Mac.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf atas segala kekurangan, di samping berazam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.








