Pengelasan empat kategori kuil elak pembinaan tanpa kebenaran

25 Feb 2026, 4:00 AM
Pengelasan empat kategori kuil elak pembinaan tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 25 FEB: Pengelasan kuil kepada empat kategori yang diperkenalkan Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan dijangka dapat menyelesaikan pelbagai isu berkaitan rumah ibadat tersebut.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata langkah berkenaan menyediakan asas panduan dan dasar yang jelas bagi pembinaan kuil pada masa hadapan.

Menurutnya, pendekatan itu juga mampu menghalang mana-mana pihak daripada membina kuil sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, selain menjadi mekanisme penyelesaian terhadap kuil yang belum diiktiraf.

“Saya menyokong penuh cadangan dikemukakan jawatankuasa berkenaan. Ini sesuatu yang bagus dan boleh menyelesaikan banyak perkara berbangkit.

“Difahamkan esok (hari ini) akan ada perjumpaan dengan jawatankuasa ini di Parlimen dan saya juga akan turut serta,” katanya kepada Media Selangor.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Kelmarin, Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan sebulat suara menerima satu rangka kerja tersusun bagi pengelasan kuil kepada empat kategori sebagai langkah menangani isu kuil Hindu tidak berdaftar di seluruh negara.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kedua jawatankuasa berkenaan yang diadakan di ibu pejabat Malaysia Hindu Sangam (MHS) di Petaling Jaya pada 21 Februari lalu.

Jawatankuasa tersebut menegaskan mandatnya bukan untuk mendaftarkan kuil secara sewenang-wenangnya, sebaliknya membantu kuil melalui proses penyelarasan serta pengesahan status secara sah di sisi undang-undang.

Di bawah rangka kerja itu, empat kategori yang dipersetujui adalah seperti berikut:

Kategori Hijau: Kuil dengan dokumentasi lengkap termasuk pewartaan dan hak milik tanah yang sah; dianggap telah diselaraskan sepenuhnya.

Kategori Kuning: Kuil yang belum memperoleh pewartaan atau dokumentasi hak milik tanah lengkap; bantuan akan diberikan bagi proses regularisasi.

Kategori Oren: Kuil yang terletak di tanah kerajaan, persendirian atau estet dengan kelulusan sah; jawatankuasa akan membantu memudah cara pembelian tanah atau mendapatkan tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Kategori Merah: Kuil tanpa sebarang dokumentasi atau persetujuan; jawatankuasa akan mengenal pasti pilihan seperti pembelian tanah atau penggabungan dengan kuil berdaftar sedia ada.