Jawatankuasa Pemandu setuju empat kategori kuil tangani isu tidak berdaftar

23 Feb 2026, 1:32 PM
Jawatankuasa Pemandu setuju empat kategori kuil tangani isu tidak berdaftar

SHAH ALAM, 23 FEB: Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan sebulat suara menerima satu rangka kerja tersusun bagi pengelasan kuil kepada empat kategori sebagai langkah menangani isu kuil Hindu tidak berdaftar di seluruh negara.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat keduanya yang diadakan di ibu pejabat Malaysia Hindu Sangam (MHS) di Petaling Jaya pada 21 Februari lalu.

Jawatankuasa itu menegaskan mandatnya bukan untuk mendaftarkan kuil secara sewenang-wenangnya, sebaliknya membantu kuil melalui proses penyelarasan dan pengesahan status secara sah di sisi undang-undang.

“Objektif utama adalah untuk membantu kuil mencari penyelesaian praktikal dan sah dari segi undang-undang sekali gus melindungi hak kebebasan beragama dan mengekalkan keharmonian nasional.

“Jawatankuasa mengakui isu kuil tidak berdaftar kini menjadi kebimbangan nasional dan berisiko menjejaskan keharmonian sosial serta memberi implikasi lebih besar kepada negara,” menurut kenyataan itu.

Di bawah rangka kerja berkenaan, empat kategori yang dipersetujui adalah seperti berikut:

Kategori Hijau: Kuil dengan dokumentasi lengkap termasuk pewartaan dan hak milik tanah yang sah; dianggap telah diselaraskan sepenuhnya.

Kategori Kuning: Kuil yang belum memperoleh pewartaan atau dokumentasi hak milik tanah lengkap; bantuan akan diberikan untuk proses regularisasi.

Kategori Oren: Kuil yang terletak di tanah kerajaan, persendirian atau estet dengan kelulusan sah; jawatankuasa akan membantu memudah cara pembelian tanah atau memperoleh tanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI)

Kategori Merah: Kuil tanpa sebarang dokumentasi atau persetujuan; jawatankuasa akan mengenal pasti pilihan seperti pembelian tanah atau penggabungan dengan kuil berdaftar sedia ada.

Selain itu, jawatankuasa tersebut memaklumkan sokongan dari aspek perundangan, ritual (Agamam) dan teknikal akan disediakan bagi memastikan penyelesaian yang dicapai bersifat menyeluruh serta menghormati sensitiviti agama.

Jawatankuasa turut bercadang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri berkaitan bagi memudah cara penyelarasan kerajaan dalam isu berkenaan.

Setakat ini, kira-kira 450 kuil telah memberi maklum balas terhadap kaji selidik yang dijalankan dan jawatankuasa menggesa semua kuil Hindu melengkapkan borang berkenaan bagi membolehkan langkah susulan diambil secara tersusun.

Mesyuarat berkenaan dihadiri wakil daripada organisasi anggota yang merangkumi pelbagai pertubuhan Hindu seluruh negara, serta Ahli Dewan Negeri (ADN) dan wakil daripada parti politik.

Sementara itu, jawatankuasa tersebut menegaskan komitmen untuk melaksanakan pendekatan inklusif, dwipartisan dan berorientasikan penyelesaian demi kepentingan komuniti Hindu serta negara secara keseluruhan.