SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Buddha Sambodhi Selangor di Setia Alam bagi membantu menampung kos menyiapkan bangunan baharu persatuan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Ng Sze Han berkata pembinaan bangunan berkenaan kini di peringkat akhir dan diharap dapat dimanfaatkan komuniti setempat dalam masa terdekat.
“Marilah kita terus berganding bahu menyempurnakan usaha ini agar bangunan baharu berkenaan dapat dimanfaatkan oleh komuniti dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sumbangan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan rumah ibadat dan kemudahan komuniti bukan Islam di Selangor.
LIMAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang berperanan membantu pemulihan rumah ibadat bukan Islam, menangani isu penempatan rumah ibadat tidak sah serta menjadi penghubung antara kerajaan dengan komuniti bukan Islam.







