SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS) menyalurkan sumbangan RM1.29 juta kepada 128 persatuan Buddha dan Tao di seluruh negeri.
Pengerusi Bersama LIMAS Ng Sze Han berkata sehingga kini, pihaknya telah meluluskan 130 permohonan dengan jumlah dana membabitkan RM1.39 juta.
“Secara keseluruhan, LIMAS memperuntukkan sebanyak RM8 juta pada tahun ini, dengan RM3.62 juta dikhususkan kepada badan-badan agama Buddha dan Tao.
“LIMAS telah menerima sebanyak 318 permohonan hingga 4 Jun dan kami sedang mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan baki permohonan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Sambutan Hari Wesak Selangor 2026 anjuran LIMAS pagi semalam.
Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan sebanyak 481 lot tanah telah diwartakan untuk Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sejak 2008 termasuk 57 lot yang diluluskan di bawah pentadbiran semasa.
“Ini mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri utama di Malaysia dalam penyediaan peruntukan sebegini, dan kita berada di landasan tepat untuk melepasi sasaran 500 lot dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami akan terus bekerjasama dengan semua komuniti bagi membina Selangor yang lebih harmoni, progresif dan makmur untuk semua,” ujarnya.







