EXCO perbetul tiga salah faham garis panduan rumah ibadat bukan Islam

6 Jun 2026, 10:00 AM
EXCO perbetul tiga salah faham garis panduan rumah ibadat bukan Islam

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri membidas beberapa salah faham yang tersebar berhubung cadangan semakan dan penambahbaikan garis panduan rumah ibadat bukan Islam di Selangor, termasuk dakwaan kononnya akses terus dari jalan utama akan dihalang serta rumah ibadat kecil di tapak pembinaan akan dirobohkan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS) V Papparaidu berkata dakwaan berkenaan tidak tepat dan tidak mencerminkan kandungan sebenar garis panduan yang sedang disemak.

Menurutnya, semakan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan peraturan perancangan kekal praktikal, inklusif dan memenuhi keperluan masyarakat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Kerajaan Negeri kekal komited menjunjung kebebasan beragama, melindungi kepentingan semua komuniti agama serta memastikan dasar perancangan yang dilaksanakan mampu memupuk keharmonian, keselamatan dan pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan dakwaan bahawa rumah ibadat bukan Islam tidak lagi dibenarkan mempunyai akses terus ke jalan utama adalah tidak benar.

Katanya, keperluan menyediakan jalan perkhidmatan hanyalah bagi tujuan pengurusan trafik dan keselamatan, khususnya ketika sambutan perayaan atau acara keagamaan yang melibatkan kehadiran ramai pengunjung.

Papparaidu turut menafikan dakwaan bahawa rumah ibadat kecil atau tokong di tapak pembinaan akan dirobohkan.

Sebaliknya, jelas beliau, garis panduan tersebut hanya merujuk kepada struktur sementara yang didirikan untuk kegunaan pekerja sepanjang tempoh pembinaan dan akan dipindahkan selepas rumah ibadat kekal siap dibina.

Mengulas isu had ketinggian bangunan dan keluasan tanah, beliau berkata garis panduan sedia ada mengesyorkan keluasan antara 0.25 hingga 0.5 ekar, manakala cadangan ketinggian sehingga 72 kaki atau kira-kira enam tingkat dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal termasuk keperluan infrastruktur dan anjakan bangunan.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri terbuka untuk meneliti dan menambah baik syarat berkenaan sekiranya terdapat keperluan.

Papparaidu berkata Selangor mempunyai rekod jelas dalam menyokong pembangunan rumah ibadat bukan Islam apabila sebanyak 481 lot tanah telah diluluskan bagi tujuan tersebut sejak 2008.

Daripada jumlah itu, 57 lot diluluskan di bawah pentadbiran semasa manakala 40 lagi permohonan sedang diproses, menjadikan jumlah keseluruhan dijangka melepasi 500 tapak menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat dan hanya merujuk kepada kenyataan rasmi serta sumber yang sahih berhubung perkara itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.