Lima rumah ibadat, pertubuhan keagamaan di Kuala Langat terima sumbangan LIMAS

11 Jun 2026, 9:48 AM
Lima rumah ibadat, pertubuhan keagamaan di Kuala Langat terima sumbangan LIMAS

SHAH ALAM, 11 JUN: Lima rumah ibadat dan pertubuhan keagamaan di Kuala Langat menerima sumbangan daripada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) sebagai usaha memperkukuh aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan di peringkat komuniti.

Pengerusi Bersama LIMAS, V Papparaidu berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor.

Menurutnya, rumah ibadat dan pertubuhan keagamaan bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, malah menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

"Kerajaan Negeri akan terus mendukung prinsip keterangkuman dan perpaduan agar setiap komuniti dapat hidup dalam suasana yang aman, harmoni dan saling menghormati," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sumbangan tersebut disalurkan kepada Persatuan Penganut Agama Soon Tian Kong Banting Selangor, Persatuan Penganut Dewa Natok Gong Teluk Bunut Banting dan Persatuan Perkuburan Cina Permatang Pasir Kampung Permatang Pasir Banting.

Turut menerima manfaat sama, Persatuan Penganut Ping An Tong Tongkah Banting serta Persatuan Penganut Shang Tian Gong Jenjarom.

Papparaidu berkata LIMAS akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan komuniti bukan Islam bagi memastikan kebajikan serta pembangunan institusi keagamaan terus diberi perhatian.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.