SHAH ALAM, 9 MAC: Surah Al-Mulk ayat 19 mengingatkan umat Islam bahawa di sebalik amaran azab Allah SWT, terdapat mesej kasih sayang yang menzahirkan rahmat-Nya kepada manusia.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat tersebut hadir selepas beberapa ayat yang menyentuh ancaman azab, sekali gus menunjukkan keseimbangan antara peringatan dan rahmat Allah.
Menurutnya, ayat berkenaan mengajak manusia memerhatikan burung yang terbang di langit sebagai tanda kekuasaan serta kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.
“Allah SWT menyebut burung yang mengembangkan dan menutup sayapnya ketika terbang. Hakikatnya tiada siapa yang menahan burung itu daripada jatuh melainkan Allah SWT.
“Namun dalam ayat ini Allah tidak menggunakan perkataan ‘illa Allah’, sebaliknya menzahirkan sifat Ar-Rahman, iaitu Yang Maha Pengasih,” katanya.
Beliau berkata penggunaan nama Ar-Rahman menunjukkan bahawa setiap makhluk berada di bawah perlindungan serta kasih sayang Allah SWT.
Menurutnya lagi, ayat tersebut turut mengingatkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Memerhatikan segala sesuatu, dan tiada satu perkara pun yang terlepas daripada pengetahuan-Nya.
“Selepas beberapa ayat yang menggambarkan ancaman azab kepada umat terdahulu, ayat ini seolah-olah memberi kelegaan kepada manusia dengan mengingatkan tentang kasih sayang Allah,” katanya.
Dr Ahmad Fakhrurrazi berkata mesej itu juga mengajak manusia menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT serta sentiasa memperbaiki pengabdian kepada-Nya.
Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Surah Al-Mulk turut mengingatkan manusia tentang kebesaran kerajaan Allah SWT serta kedudukan manusia sebagai hamba di bumi.
Menurutnya, kekuasaan Allah bukan sekadar memperlihatkan ancaman atau hukuman, sebaliknya turut menzahirkan nilai rahmah melalui sifat-Nya, Ar-Rahman.
“Di sebalik kekuatan dan kebesaran Allah, terdapat nilai kasih sayang yang perlu kita hayati,” katanya.
Beliau berkata Ramadan juga mendidik umat Islam untuk menyuburkan nilai rahmah dalam kehidupan, termasuk membantu golongan memerlukan dan berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengajar kita tentang belas ihsan dan kasih sayang sesama manusia.
“Sebab itu kita digalakkan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa kerana pahalanya sama seperti orang yang berpuasa,” katanya.
Beliau berharap Ramadan dimanfaatkan untuk meningkatkan keimanan, meraih keampunan Allah SWT serta menyemai nilai kasih sayang dalam kehidupan masyarakat.







