UM, Dr Lim Wee Chai meterai MoA biasiswa perubatan dan kesejahteraan RM1 juta

14 Feb 2026, 9:15 AM
UM, Dr Lim Wee Chai meterai MoA biasiswa perubatan dan kesejahteraan RM1 juta
UM, Dr Lim Wee Chai meterai MoA biasiswa perubatan dan kesejahteraan RM1 juta
UM, Dr Lim Wee Chai meterai MoA biasiswa perubatan dan kesejahteraan RM1 juta

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Tan Sri Dr Lim Wee Chai hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menubuhkan Biasiswa Tan Sri Dr Lim Wee Chai untuk Perubatan dan Kesejahteraan.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Fakulti Perubatan UM dan disusuli dengan penyerahan cek replika berjumlah RM1 juta, hari ini.

Biasiswa berkenaan diwujudkan melalui dana endowmen kekal bernilai RM1 juta bagi menyokong pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang perubatan dan kesejahteraan, termasuk program penyelidikan, kerja kursus dan mod campuran.

Dekan Fakulti Perubatan UM, Profesor Dato’ Dr Yang Faridah Abdul Aziz, berkata MoA tersebut mencerminkan kerjasama berterusan yang memberi manfaat langsung kepada pelajar serta menyumbang kepada masa depan sektor kesihatan negara.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Professor Dato' Dr. Yang Faridah Abdul Aziz berucap dalam Majlis Menandatangani MoA dan Penyerahan Cek Cura di Galeri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2026. FOTO HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Setiap kali individu berkeupayaan dinafikan peluang pendidikan, ia bukan sahaja kerugian peribadi malah kos jangka panjang kepada produktiviti dan daya tahan negara,” katanya pada Majlis Menandatangani MoA dan Penyerahan Cek Cura di Galeri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, di sini.

Sementara itu, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata beliau berharap biasiswa itu dapat membantu pelajar yang layak dan berbakat, sekali gus melahirkan generasi baharu dalam bidang perubatan dan kesejahteraan.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif, Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berucap dalam Majlis Menandatangani MoA dan Penyerahan Cek Cura di Galeri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2026. FOTO HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Majlis tersebut turut menjadi sebahagian daripada program “A Celebration of Legacy, Knowledge and Partnership” anjuran Fakulti Perubatan UM.

Acara sama turut menyaksikan pelancaran terjemahan Bahasa Melayu biografi beliau bertajuk Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar, memperkukuh mesej bahawa ilmu dan kerjasama berterusan antara alumni serta institusi menjadi pemacu utama pembangunan bakat negara.