SHAH ALAM, 12 FEB: Universiti Malaya (UM) memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan di media sosial yang mengaitkan seorang pensyarah kanan institusi itu dengan gerakan Freemason.
Dalam kenyataan hari ini, UM memaklumkan pihaknya menyedari dakwaan berkenaan dan telah mengambil langkah segera bagi mendapatkan pemahaman menyeluruh mengenai perkara terbabit.
Menurut universiti itu, siasatan akan dijalankan secara adil dan telus selaras dengan undang-undang serta peraturan dan tatacara ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan memberi ruang kepada proses siasatan berjalan tanpa gangguan serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
“Langkah ini penting bagi melindungi integriti siasatan serta privasi semua pihak yang terlibat,” menurut kenyataan berkenaan.
UM turut menegaskan komitmen untuk memastikan isu itu ditangani secara profesional, beretika dan bertanggungjawab selaras prinsip tadbir urus yang baik.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial mendakwa pensyarah berkenaan dan isterinya mempunyai kaitan dengan sebuah cawangan Freemason di luar negara, selain mempersoalkan pelantikan beliau di universiti berkenaan.
Freemason merupakan pertubuhan persaudaraan yang diasaskan di Eropah sekitar abad ke-16 hingga ke-18 dan dikenali dengan mesyuarat tertutup serta penekanan terhadap nilai moral dan kerja kebajikan.


