KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Universiti Malaya (UM) mengesahkan adegan dalam persembahan teater yang tular di media sosial tidak selaras dengan skrip asal yang telah diluluskan.
Dalam kenyataan hari ini, universiti itu memaklumkan hasil penelitian mendapati berlaku penyimpangan daripada skrip yang telah melalui proses tapisan, sekali gus melanggar syarat pertandingan Karnival Teater (KARVITER).
Menurut UM, setiap persembahan diwajibkan mematuhi garis panduan ketat termasuk bebas daripada unsur negatif, provokasi serta kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral dan etika.
“Persembahan yang dipentaskan jelas tidak mematuhi skrip asal yang diluluskan dan merupakan pelanggaran terhadap peraturan pertandingan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, UM memutuskan persembahan berkenaan tidak layak untuk dinilai, selain mengambil tindakan susulan bagi memperketat pemantauan.
Universiti itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan program.
UM dalam masa sama memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta kesulitan yang timbul susulan insiden tersebut.
Isu berkenaan mencetuskan perhatian selepas rakaman adegan daripada persembahan itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat.








