LUAS galak penyelidikan akademik pengurusan sumber air, libat penuntut universiti

18 Jan 2026, 9:48 AM
LUAS galak penyelidikan akademik pengurusan sumber air, libat penuntut universiti
LUAS galak penyelidikan akademik pengurusan sumber air, libat penuntut universiti
LUAS galak penyelidikan akademik pengurusan sumber air, libat penuntut universiti

SHAH ALAM, 18 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terus menyokong penyelidikan akademik berkaitan pengurusan sumber air menerusi aktiviti kajian lapangan dan pengambilan sampel air di negeri ini.

Semalam, LUAS menjalankan pemantauan dan pensampelan sedimen di Kolam Kampung Dato’ Harun, Serendah dengan penglibatan penuntut dari Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Menurut kenyataan LUAS di Facebook, kolam tersebut merupakan sebahagian daripada skim Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) yang berperanan penting sebagai sumber air alternatif negeri.

“Kolam Kampung Dato’ Harun di Serendah dipilih sebagai lokasi untuk aktiviti pemantauan dan pensampelan sedimen kerana ia merupakan salah satu daripada kolam yang dijenamakan sebagai Selangor Off River Storage Scheme (SORSS).

"Pensampelan ini bertujuan mengumpul data berkualiti air dan sedimen bagi tujuan penyelidikan akademik khususnya untuk menilai ciri fiziko-kimia serta tahap pencemaran di tasik dan bekas lombong,” menurut kenyataan di Facebook.

LUAS turut menjelaskan bahawa SORSS merangkumi lebih 100 kolam dan bekas lombong yang diklusterkan mengikut lembangan sungai dengan pemantauan rapi selaras Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang siap 13 Mei lalu.

Agensi itu menambah, mereka sentiasa menggalakkan pihak berkepentingan khususnya penuntut universiti meneroka sumber air negeri bagi memperkukuh pengalaman penyelidikan dan memahami peranan LUAS sebagai pengurus sumber air di Selangor.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan LUAS mengenal pasti 100 kolam tambahan dan bekas lombong di seluruh negeri yang berpotensi dijadikan sebagai sumber air alternatif tambahan.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata ia termasuk kolam takungan di Bestari Jaya yang direka bentuk dengan pelbagai fungsi sekali gus berupaya dijadikan kolam tebatan banjir, rekreasi dan mitigasi pencemaran.