Kelas bahasa asing percuma tawar dua kategori, permohonan dibuka 9 Februari

2 Feb 2026, 6:00 AM
Kelas bahasa asing percuma tawar dua kategori, permohonan dibuka 9 Februari
Kelas bahasa asing percuma tawar dua kategori, permohonan dibuka 9 Februari
Kelas bahasa asing percuma tawar dua kategori, permohonan dibuka 9 Februari
Kelas bahasa asing percuma tawar dua kategori, permohonan dibuka 9 Februari

SHAH ALAM, 2 FEB: Program Selangor Language Discovery kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang menawarkan kelas bahasa asing secara percuma bakal dibuka mulai 9 Februari ini.

Koordinatornya Juliana Es Mohd Munawir berkata kelas bahasa Mandrin, Arab, Tamil, Perancis dan Sepanyol dibuka kepada dua kategori bagi memudahkan proses pembelajaran yang berjalan selama tiga bulan setiap sesi.

“Program ini terbuka kepada semua pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran komunikasi. Jadi kita buka kategori kanak-kanak untuk peserta tujuh hingga 12 tahun dan kategori dewasa berumur 13 tahun ke atas.

“Sesi pembelajaran dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Ini memberi fleksibiliti kepada peserta untuk belajar mengikut pilihan masa yang ditawarkan,” katanya kepada Media Selangor.

Juliana Es berkata setiap bahasa akan diajar dua guru berpengalaman dan bilangannya akan ditambah sekiranya menerima permohonan peserta yang tinggi.

“Permohonan secara dalam takuan akan dibuka 9 Februari ini. Pemohon hanya perlu mengisi maklumat peribadi dan bahasa mahu dipelajari.

“Keutamaan diberi kepada penduduk negeri ini. Selepas berjaya, kami akan menghantar pengesahan kepada pemohon melalui email,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menawarkan kelas bahasa asing secara dalam talian dan percuma bermula tahun ini sebagai langkah memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari pendekatan itu membuktikan keyakinan Kerajaan Negeri bahawa bahasa adalah kekuatan yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global, bukan punca perpecahan.

Berikutan itu, minggu lalu beliau mengumumkan insentif khas berjumlah RM500,000 bagi melaksana program terbabit.