PETALING JAYA, 14 DIS: Kerajaan Selangor akan menawarkan kelas bahasa asing secara dalam talian dan percuma bermula tahun depan, sebagai langkah memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu membuktikan keyakinan Kerajaan Negeri bahawa bahasa adalah kekuatan yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global, bukan punca perpecahan.
“Bahasa sepatutnya dilihat sebagai kekuatan untuk membolehkan kita bersaing di pentas antarabangsa.
“Sebab itu mulai tahun depan, Selangor akan tawarkan kelas bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Sepanyol secara dalam talian dan percuma, supaya rakyat negeri ini fasih sekurang-kurangnya tiga bahasa selain Melayu dan Inggeris,” katanya ketika ditemui pada sambutan Krismas peringkat negeri Selangor 2025 di pusat beli-belah 1 Utama di sini hari ini.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menekankan keperluan mengangkat Bahasa Melayu tanpa mengetepikan penguasaan bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil.

Jelas Amirudin, Selangor sudah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak 2015 kerana percaya pendidikan pelbagai aliran memberi pilihan kepada pelajar untuk memperbaiki taraf hidup dan memperkukuh jati diri nasional.
“Kalau kita terus berbahas soal siapa perlu belajar bahasa apa, kita akan ketinggalan sebagai masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan anak muda menguasai teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan inovasi digital lain agar terus relevan dalam pembangunan dunia.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan program kelas bahasa berkenaan yang diuruskan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 menerima sambutan menggalakkan.
Menurutnya, program yang sebelum ini dilaksanakan bersama pusat bahasa dengan bayaran RM10 kini akan ditawarkan secara percuma dalam talian sebagai asas kepada pembelajaran bahasa yang lebih mendalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menawarkan diskaun yuran pengajian sebanyak 50 peratus kepada 4,000 pelajar yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Selangor (UIS) pada tahun hadapan bagi memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif tanpa mengira latar belakang kewangan.





