SHAH ALAM, 26 NOV: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 yang membuka tirai esok (27 November) di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000.
Acara anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu berlangsung selama 10 hari hingga 6 Disember, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
PPAS memaklumkan sebanyak 10 cabutan bertuah bernilai RM500 setiap satu ditawarkan setiap hari sepanjang penganjuran pesta buku berkenaan.
“Pengunjung yang membuat pembelian minimum RM30 layak menyertai cabutan bertuah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Penganjuran tahun ini turut menawarkan Baucar Buku KitaSelangor khusus untuk pelajar sekolah bagi menggalakkan pembelian buku, memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti serta menyemarakkan budaya membaca.
Selain itu, pengunjung berpeluang memanfaatkan Baucar Buku Kota Buku serta Baucar PLATS untuk berbelanja dengan peniaga yang berdaftar di bawah Platform Selangor (PLATS).

Pertandingan Sekolahku Hebat bagi kategori sekolah rendah dan menengah turut dianjurkan dengan sekolah yang mencatatkan kehadiran tertinggi berdasarkan pendaftaran berpeluang memenangi sebuah televisyen Android 75 inci berserta wang tunai RM5,000.
“SIBF 2026 bukan sekadar sebuah pesta jualan buku, sebaliknya merupakan platform yang menyatukan masyarakat melalui ilmu, pembacaan, pendidikan, kebudayaan dan industri kreatif,” katanya.
SIBF tahun lalu merekodkan kehadiran 233,341 pengunjung, mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap acara perbukuan berkenaan.
Pemilihan SCCC sebagai lokasi penganjuran untuk tahun ketiga berturut-turut mengambil kira kesesuaian ruang pameran, kawasan parkir yang luas serta akses kepada pelbagai kemudahan.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang PPAS untuk mendapatkan maklumat lanjut.







