SHAH ALAM, 28 NOV: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) memperkenalkan pelbagai karya baharu merangkumi biografi, sejarah, geopolitik dan pemikiran Islam sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026.
Eksekutif Jualan Korporat IBDE Muhammad Nazmi Tusimun berkata antara judul diperkenalkan ialah Tun Razak: Membangun Bangsa di Zaman Gelora karya William Shaw yang mengupas perjalanan hidup Perdana Menteri kedua Malaysia.
Menurutnya, karya berkenaan turut menyentuh perjuangan kemerdekaan dan pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Beliau berkata IBDE turut memperkenalkan Genghis Khan: Penggubah Dunia karya Jack Weatherford yang menilai pengaruh tokoh itu terhadap pembentukan dunia moden, termasuk perkembangan empayar Mongol, pentadbiran, perdagangan serta pertukaran budaya antara Timur dengan Barat.

Katanya, tiga lagi karya diterjemahkan daripada bahasa Parsi ke bahasa Melayu menerusi kerjasama dengan Iran Cultural Centre.
Judul berkenaan ialah Revolusi Iran 1979: Menyingkap Falsafah Sejarah, Sejarah Iran Purba: Dari Empayar Parsi hingga Pra-Islam serta Allama Iqbal: Pujangga dan Pemikir Timur.
“Kita sudah mula menyiapkan terjemahan sejak tahun lepas dan bersempena SIBF kali ini, kita dapat melengkapkan semua terjemahan serta menerbitkannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada SIBF 2026 di sini, semalam.
Muhammad Nazmi berkata karya berkenaan masing-masing membincangkan pembentukan jati diri Iran menerusi revolusi, perkembangan tamadun purba dari sudut sejarah dan budaya serta kehidupan dan pemikiran Allama Iqbal sebagai penyair, ahli falsafah dan pembaharu pemikiran Islam.
Selain judul baharu, katanya, IBDE turut memperkenalkan pengkategorian baharu seperti Alam Melayu bagi karya berkaitan Nusantara, Cerita Dunia untuk karya sastera antarabangsa serta seksyen khusus Imam al-Ghazali dan Ilmuan Turath.
Beliau berkata IBDE turut melengkapkan penerbitan 20 jilid Ihya’ Ulumuddin selepas empat tahun.
“Alhamdulillah masa Festival Turath hari tu kita dah lengkap jilid Ihya' Ulumiddin, empat tahun punya projek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Zafrullah Aris berkata sambutan pengunjung pada hari pertama SIBF 2026 amat menggalakkan.
Katanya, kemudahan bas ulang-alik dari Stesen LRT Pasar Klang ke Pusat Konvensyen Setia Alam (SCCC) turut disediakan bagi memudahkan perjalanan pengunjung.
“PPAS turut menyediakan zon khas kanak-kanak yang dilengkapi gelongsor dan buaian bagi membolehkan mereka beriadah sementara ibu bapa mengunjungi reruai buku,” katanya.








