SHAH ALAM, 5 JUN: Pendaftaran Kelas Asas Bahasa 2026 bagi pengambilan sesi keenam menerusi program Language Discovery @ Selangor Public Library kini dibuka kepada orang ramai.
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan kelas berkenaan ditawarkan secara percuma di bawah subsidi Kerajaan Negeri.
"Bahasa yang ditawarkan adalah Bahasa Inggeris.Keutamaan diberikan kepada mereka yang telah berjaya mendaftar akaun Language Discovery sebelum ini," menurut kenyataan itu.
PPAS memaklumkan kelas secara dalam talian itu akan diadakan empat kali sebulan sepanjang tempoh tiga bulan.
Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan www.ppas.gov.my/language_discovery dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 016-206 4264 atau 011-5879 1664.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menawarkan kelas bahasa asing secara dalam talian dan percuma bermula tahun ini sebagai langkah memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari pendekatan itu membuktikan keyakinan Kerajaan Negeri bahawa bahasa adalah kekuatan yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global, bukan punca perpecahan.
Berikutan itu, minggu lalu beliau mengumumkan insentif khas berjumlah RM500,000 bagi melaksana program terbabit.







