Isu Kampung Papan: Penduduk harap penyelesaian terbaik

30 Jan 2026, 7:55 AM
Isu Kampung Papan: Penduduk harap penyelesaian terbaik
Isu Kampung Papan: Penduduk harap penyelesaian terbaik

SHAH ALAM, 30 JAN: Penduduk Kampung Papan, Pandamaran yang terjejas akibat perobohan rumah masih berharap kemelut tersebut dapat diselesaikan dengan baik, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran.

Leong Tuck Chee berkata penduduk meletakkan harapan supaya semua keputusan dapat dibuat secara rasmi atau hitam putih, sekali gus mengakhiri masalah yang membelenggu sejak sekian lama.

“Kita masih tunggu berita baik daripada Kerajaan Negeri dan harap ia dapat dipercepatkan. Penduduk hanya mahu surat hitam putih daripada Kerajaan Negeri, itu sahaja.

“Untuk pengetahuan, ada 44 lagi kediaman di Kampung Papan yang masih dalam proses mahkamah dan saya juga sudah sampai mesej ini kepada Dato’ Menteri Besar, EXCO Perumahan dan EXCO Pelaburan,” katanya kepada Media Selangor.

Tuck Chee menambah, ada penduduk terjejas yang telah berpindah ke kawasan lain, malah ada juga yang membina semula bilik kecil di atas tanah terbabit sebagai tanda enggan berpindah dari Kampung Papan.

Jelasnya, beliau sudah menawarkan kediaman sementara kepada penduduk terbabit di Parklands Bukit Tinggi 3, namun mereka menolak dengan alasan jauh daripada rumah asal di Kampung Papan.

“Sebenarnya tidak jauh, hanya kira-kira 5 kilometer sahaja, tetapi mereka tetap tidak mahu. Jadi saya sedang berbincang dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk bantu menyediakan rumah berhampiran,” katanya.

Tahun lalu, sebanyak 20 rumah di Kampung Papan terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.

Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.

Pada November lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penduduk Kampung Papan yang terjejas bakal menerima kediaman mampu milik yang akan dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Amirudin dilapor berkata perkara itu dipersetujui bersama dalam mesyuarat apabila pihak pemaju bersetuju menyerahkan tanah seluas tujuh ekar bagi projek pembangunan menyeluruh.