SHAH ALAM, 18 NOV: Penduduk Kampung Papan, Pandamaran yang terjejas akibat perobohan rumah wajar menerima bayaran pampasan daripada pihak pemaju, tegas Ahli Dewan Negeri Pandamaran (ADN) Leong Tuck Chee.
Beliau berkata, keputusan mahkamah langsung tidak menyatakan halangan pemberian pampasan dan arahan tersebut hanya membabitkan pemberian notis pengosongan kepada peneroka.
“Pihak pemaju perlulah lebih berperikemanusiaan dengan memberi pampasan dan tunggu sehingga surat tawaran ditandatangani.
“Apa yang peneroka hendak ialah pampasan sewajarnya. Pandamaran menegaskan pendirian di dewan yang mulia ini bahawa pampasan ini perlu mendapat persefahaman kedua-dua pihak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Tuck Chee turut meluahkan rasa kecewa terhadap insiden perobohan berkenaan selain berharap Kerajaan Negeri dapat berusaha menyelesaikan isu pampasan terbabit kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, peneroka juga menyatakan janji untuk keluar dari tanah berkenaan secara aman jika penyelesaian dapat dimeterai menerusi surat tawaran daripada pihak pemaju.
“Untuk pengetahuan dewan yang mulia, masih ada 44 peneroka yang masih membuat rayuan di mahkamah, maka Pandamaran harap kaedah penyelesaian atau surat tawaran dapat diberi secepat mungkin,” katanya.
Tuck Chee juga mencadangkan Kerajaan Negeri menyekat segala kelulusan merancang dan pelan bangunan sebelum persetujuan dicapai bersama penduduk, khususnya berkaitan pemberian pampasan.
“Ini dapat memberi ajaran kepada pemaju lain dan rasa mereka boleh bermaharajalela dan menunjuk kesombongan dengan tidak memandang arahan atau keputusan perbincangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan 20 rumah di Kampung Papan terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.
Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.




