ad

Kronologi isu Kampung Papan: Apa sebenarnya berlaku?

16 Nov 2025, 10:00 AM
Kronologi isu Kampung Papan: Apa sebenarnya berlaku?

Isu Kampung Papan adalah salah satu isu yang merupakan legasi pentadbiran terdahulu yang perlu ditangani pentadbiran semasa atas dasar kemanusian sejagat.

Tetapi, apa sebenarnya berlaku? Berikut adalah kronologi isu menurut kenyataan media EXCO Perumahan & Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah pada 14 November 2025.

1995

  • Tanah kerajaan di Jalan Papan, Klang seluas 95 ekar diberimilikan kepada TPPT Sdn. Bhd. (anak syarikat Bank Negara Malaysia) bagi tujuan pembangunan semula perumahan kos rendah dan sederhana rendah.

2003

  • Majlis Perbandaran Klang (MPK) mula menawarkan rumah kos rendah kepada penduduk.

  • Jawatankuasa Penduduk Jalan Papan membantah tawaran tersebut dan mengemukakan beberapa syarat baharu.

2008

  • Notis perobohan dikeluarkan, namun tindakan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan.

2018

  • Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menetapkan supaya Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) menyediakan komponen Rumah Selangorku sebagai sebahagian pelan penyelesaian jangka panjang untuk 181 peneroka berdaftar.

  • Rundingan susulan dijalankan antara Kerajaan Negeri, pemaju dan wakil penduduk bagi memperhalus kaedah pelaksanaan.

2020

  • MECSB memfailkan saman pengosongan terhadap peneroka Kampung Papan.

2021

  • MMKN Ke-10/2021 (disahkan MMKN Ke-11/2021) mengekalkan keputusan tahun 2018 dengan tawaran penempatan semula:

  • 123 peneroka ditawarkan rumah teres RM99,000.

  • 58 peneroka ditawarkan Rumah Selangorku Jenis B (800 kaki persegi).

September 2025

  • Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan perintah pengosongan (bailiff execution) terhadap 48 peneroka yang hadir ke mahkamah.

9 Oktober 2025

  • Kerajaan Negeri melalui EXCO Perumahan membuka semula rundingan dengan MECSB bagi:

  • Penyerahan sebahagian tanah pemaju kepada Kerajaan Negeri.

  • Pembangunan kediaman pangsapuri peneroka oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

  • Merangka pelan penempatan semula yang lebih tersusun dan berperikemanusiaan.

21 Oktober 2025

Mesyuarat khas dipengerusikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bersetuju supaya:

  • MECSB menyerahkan tanah kira-kira 8 ekar kepada Kerajaan Negeri sebagai penyelesaian menang-menang.

  • Kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni.

11 November 2025

  • Kerajaan Negeri mengeluarkan surat rasmi kepada MECSB bagi mengesahkan komitmen penyerahan tanah 8 ekar dan mengarah penangguhan perobohan rumah berpenghuni sehingga penyerahan tanah dimuktamadkan.

14 November 2025

  • MECSB melalui peguamnya menyatakan kesediaan menyerahkan 7 ekar tanah serta beberapa lot di Jalan Papan dan Jalan Kerayong bagi tapak pemindahan rumah ibadat.

  • Kerajaan Negeri mengumumkan perkembangan positif hasil persetujuan itu, yang membuka ruang kepada pembangunan penempatan semula yang teratur dan mampan