SHAH ALAM, 20 NOV: Penyerahan tanah bagi membina kediaman mampu milik untuk penduduk Kampung Papan, Pandamaran, akan dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pembinaan kediaman itu merupakan sebahagian daripada pembangunan menyeluruh yang akan dilaksanakan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
“Isu ini berlarutan lebih 25 tahun dan melibatkan keputusan MMKN termasuk proses mahkamah. Hasil perbincangan, tanah seluas 2.83 hektar atau tujuh ekar akan dibangunkan menjadi kediaman pangsapuri.
“Bagaimanapun, projek ini mengambil masa kerana melibatkan pembangunan menyeluruh. Sementara itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menawarkan penempatan sementara di bawah Skim Rumah Smart Sewa.
“Penyerahan tanah perlu dibentangkan dalam MMKN akan datang bagi menentukan penyelesaian, termasuk peruntukan pembangunan skim penempatan sementara dan garis panduan pelaksanaan projek,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Borhan menyeru semua pihak memberi kerjasama agar projek ini dapat dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab terhadap rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan oleh pemaju.
Kerja pengosongan itu menjadi tegang apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah serta menghalang operasi perobohan.
Selain itu, Borhan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama LPHS sedang menilai projek-projek yang layak untuk dimasukkan ke dalam Skim Ceria, yang memperuntukkan RM5 juta bagi tahun hadapan.


