JKR akan siasat kerosakan longkang sekitar SMK Convent Klang

3 Sep 2026, 4:46 AM
JKR akan siasat kerosakan longkang sekitar SMK Convent Klang
JKR akan siasat kerosakan longkang sekitar SMK Convent Klang

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan terperinci dalam masa terdekat bagi menilai tahap kerosakan sistem perparitan dan penutup longkang berhampiran laluan pejalan kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang sebelum sebarang kerja baik pulih dilaksanakan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee berkata hasil pemeriksaan itu akan menjadi asas untuk menentukan skop serta tempoh kerja baik pulih yang diperlukan.

“Pihak JKR akan meninjau secara menyeluruh di dalam minggu ini atau minggu hadapan, dan akan hantar laporan kepada saya dengan kadar segera.

“Tempoh masa yang diambil untuk membaik pulih jalan tersebut bergantung kepada tahap kerosakan, jika kerosakannya serius maka tempoh masa yang lebih lama akan diambil.

“Tetapi jika kerosakannya pada skala kecil, ia tidak akan mengambil tempoh masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee bersama wakil agensi berkaitan dan pihak sekolah selepas meninjau isu kerosakan saliran berhampiran SMK Convent Klang. Foto Facebook Leong Tuck Chee

Isu berkenaan dimaklumkan kepada Tuck Chee oleh wakil Lembaga Pengelola SMK Convent Klang, Lau Chu Mooi ketika beliau menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di sekolah itu baru-baru ini.

Susulan aduan tersebut, beliau melakukan tinjauan bersama JKR serta Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Hasil tinjauan mendapati terdapat keretakan dan mendapan di kawasan sekitar laluan pejalan kaki yang menutupi saliran longkang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan warga sekolah dan penduduk sekitar.

Tuck Chee berkata kedudukan struktur saliran di bawah laluan pejalan kaki menyebabkan keadaan sebenar kerosakan tidak dapat dikenal pasti dengan segera dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Sekiranya berlaku keruntuhan secara tiba-tiba, mungkin pelajar terpaksa menggunakan jalan besar yang berhampiran dan berisiko terdedah kepada bahaya,” tambahnya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.