ad

Selangor jamin penyelesaian berhemah isu penempatan Kampung Papan

23 Okt 2025, 11:24 AM
Selangor jamin penyelesaian berhemah isu penempatan Kampung Papan
Selangor jamin penyelesaian berhemah isu penempatan Kampung Papan
Selangor jamin penyelesaian berhemah isu penempatan Kampung Papan

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan sebarang isu melibatkan penempatan dilaksanakan secara berhemah, termasuk membabitkan pembangunan Kampung Papan di Pandamaran, Klang.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pihaknya mengambil maklum berhubung demonstrasi aman yang diadakan penduduk kampung berkenaan di hadapan bangunan pentadbiran negeri, hari ini.

Beliau menegaskan, kerja-kerja perobohan hanya dihadkan kepada rumah dan premis perniagaan yang kosong serta tidak berpenghuni, selaras arahan dan semangat penyelesaian secara berhemah yang dipersetujui bersama.

“Penyelesaian secara berhemah itu telah dipersetujui bersama melalui perundingan semua pihak berkepentingan yang dipengerusikan Dato' Menteri Besar sendiri pada 21 Oktober lalu.

“Kerjasama dengan semua agensi terlibat akan diteruskan bagi menjamin proses ini dilaksanakan secara berperingkat tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dan kepentingan pembangunan negeri,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Borhan, Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau pelaksanaan melalui mesyuarat susulan bagi memastikan semua keputusan dipatuhi selain memberi jaminan kebajikan kepada penduduk terlibat.

“Ini bertujuan untuk memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara telus, tersusun dan mengikut saluran undang-undang,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 100 penduduk Kampung Papan mengadakan bantahan secara aman bagi menuntut campur tangan segera Kerajaan Negeri berhubung pengusiran dan perobohan kediaman mereka.

Penduduk mendesak campur tangan Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung notis mahkamah yang memaklumkan rumah mereka bakal dirobohkan pada Ahad dan Isnin ini.