JAIS nafi tanggung kos perobohan tanah perkuburan Islam PJS 4

28 Jan 2026, 11:15 AM
JAIS nafi tanggung kos perobohan tanah perkuburan Islam PJS 4

SHAH ALAM, 28 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan pihaknya menanggung kos perobohan tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya seperti yang tular di aplikasi Threads sejak 26 Januari lalu.

Pengarah JAIS, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad, menegaskan JAIS tidak menanggung sebarang kos berkaitan perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh itu.

Menurutnya, semua kos perobohan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor selaras dengan tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam perkara berkenaan.

“JAIS tidak menanggung sebarang kos bagi kerja perobohan dan pengosongan tanah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menafikan dakwaan bahawa wang zakat dan wakaf digunakan bagi tujuan perobohan dan pengosongan tanah tersebut.

Katanya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan amanah mengurus dan menjaga dana umat Islam mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan syarak.

“MAIS mempunyai pengetahuan jelas berhubung perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial dan memberi jaminan bahawa MAIS akan terus memastikan pengurusan dana umat Islam dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan peranan MAIS seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Terdahulu, satu hantaran di platform Threads oleh seorang pengguna mendakwa penceroboh tanah perkuburan Islam di PJS 4 menerima pampasan tanah ganti serta mendakwa kos perobohan ditanggung oleh JAIS.

Hantaran berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa.