SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berharap sebarang hantaran media sosial berkaitan Aliff Daniel Adli yang berada di luar kawalannya diturunkan segera bagi memberi ruang kepada pemuda itu dan keluarganya menjalani proses pemulihan akidah dengan tenang.
Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata syor itu dibuat susulan pengakuan bersalah Aliff Daniel, 21, di mahkamah pada 4 November lalu serta pengisytiharan taubat bersama ibu dan adiknya sehari kemudian.
“Syor ini dibuat bagi memberi sokongan kepada Aliff Daniel dan keluarga yang telah pun kembali ke pangkal jalan dan mahu mengikuti jalan Islam yang sebenar dengan tenang tanpa jejak digital yang memberi gambaran buruk kepada Aliff Daniel, keluarga, pihak berkuasa agama, umat Islam dan agama Islam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan turut menyeru masyarakat supaya bersangka baik, menjaga maruah sesama Islam dan mewujudkan persekitaran yang menyokong usaha pemulihan akidah Aliff Daniel serta keluarganya.
Pada 4 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat memerintahkan Aliff Daniel menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.
Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa menyertai ritual keagamaan yang bertentangan dengan hukum syarak di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, manakala perintah pemulihan dikeluarkan mengikut Seksyen 54(1) enakmen sama sebagai alternatif kepada hukuman denda atau penjara.
Pada 5 November, Aliff Daniel bersama ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, dan adik perempuannya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, melafazkan taubat secara terbuka menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor sebelum ini memaklumkan Aliff Daniel akan terus dipantau dan diberikan bimbingan agama selepas tamat tempoh pemulihan bagi memastikan beliau kekal berpegang pada ajaran Islam.








