SHAH ALAM, 6 NOV: Suami isteri yang berdepan konflik rumah tangga disaran mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi mencari penyelesaian terbaik.
Pembantu hal ehwal Islam Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata masyarakat perlu menangkis tanggapan pusat itu hanya menguruskan kes cerai sahaja.
Sebaliknya, Saniah Hanin Hamzah menegaskan pelbagai bentuk sokongan disediakan untuk membantu umat Islam bagi memperkukuh institusi kekeluargaan, termasuk urusan nikah, cerai dan rujuk.
“Tidak kira lapisan masyarakat, tua atau muda kami sentiasa ingin membantu dan sentiasa terbuka, Datanglah kepada kami untuk kita bantu sekiranya ada masalah. Jangan simpan.
“Bila ada masalah, pertama kena jumpa orang yang dipercayai contohnya keluarga. Jika keluarga tidak boleh membantu, kita kena berani atau yakin ke pejabat agama. Kami akan sentiasa ada untuk membantu anda semua,” katanya.
Beliau yang ditemui dalam Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di sini, baru-baru ini, berkata pasangan boleh merujuk PAID berhampiran atau membuat temu janji dalam talian melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM).

Menurut Saniah lagi, pegawai terlibat akan menilai setiap kes sebelum menawarkan khidmat nasihat atau merujuk pasangan kepada agensi berkaitan sekiranya memerlukan tindakan lanjut.
"Kami sentiasa terbuka membantu pasangan yang berdepan masalah rumah tangga. Jangan simpan seorang diri. Datang berjumpa kami kerana setiap kes mempunyai kaedah penyelesaian berbeza," katanya.
Beliau berkata orang ramai juga boleh mendapatkan penerangan tatacara dan tuntutan selepas perceraian, hak penjagaan anak dan rujuk bagi memastikan ia mematuhi undang-undang syariah.
Saniah juga menggalakkan masyarakat memanfaatkan pelbagai program pembangunan keluarga anjuran JAIS sepanjang tahun bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan mencegah konflik menjadi parah.
"Kami mahu masyarakat melihat pejabat agama sebagai tempat mendapatkan bantuan, bukan hanya apabila berlaku perceraian. Lebih awal pasangan mendapatkan nasihat, lebih besar peluang untuk menyelamatkan institusi keluarga," katanya.








