Isu sembelihan ayam diragui, EXCO gesa orang ramai tampil buat aduan

5 Nov 2026, 2:00 PM
Isu sembelihan ayam diragui, EXCO gesa orang ramai tampil buat aduan
Isu sembelihan ayam diragui, EXCO gesa orang ramai tampil buat aduan

KLANG, 5 NOV: Orang ramai digesa segera melaporkan sebarang aktiviti penyembelihan ayam mencurigakan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata pengguna juga perlu mendapatkan maklumat tepat sebelum membeli produk makanan bagi memastikan barangan yang dipilih selamat dan halal.

“Saya minta pengguna dapatkan maklumat tepat, yang penting mesti tepat. Kalau dapat maklumat tepat kita yakin (confident) hendak beli barangan yang selamat dan halal… itu yang paling penting.

“Pemantauan akan diadakan dari semasa ke semasa tetapi kita mengharapkan aduan daripada orang ramai kerana melalui aduan ini, barulah pihak berkuasa atau kerajaan dapat menjalankan... menegakkan undang-undang secara lancar, secara mudah.

“Jadi kita juga minta aduan daripada orang ramai untuk membantu pihak kerajaan bagi melaksanakan perkara-perkara yang dilihat melanggar undang-undang,” katanya di sini, hari ini.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail (tengah) diiringi Pengarah KPDN Selangor Muhammad Hanif Dato' Asa'ari (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sri Ternak Dato' Raymond Ho Cheng melihat barang keperluan asas selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI di ST Rosyam Mall, Klang pada 5 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan Program Jualan Rahmah Madani Deepavali 2026 di ST Rosyam Mall yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller di sebuah gudang di Puchong.

Siasatan mendapati premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah itu menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam pengendalian ayam.

Pemeriksaan awal turut mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum disembelih.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.