JAIS terus pantau, bimbing Aliff Daniel selepas tamat pemulihan akidah

5 Nov 2026, 1:00 PM
JAIS terus pantau, bimbing Aliff Daniel selepas tamat pemulihan akidah
JAIS terus pantau, bimbing Aliff Daniel selepas tamat pemulihan akidah
JAIS terus pantau, bimbing Aliff Daniel selepas tamat pemulihan akidah

SHAH ALAM, 5 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memantau dan memberikan bimbingan agama kepada Aliff Daniel Adli, 21, selepas tamat tempoh pemulihan akidah selama tiga bulan bagi memastikan beliau kekal berpegang pada ajaran Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Salehuddin Saidin berkata langkah itu penting bagi memastikan Aliff Daniel mendapat bimbingan berterusan untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan agamanya.

“Insya-Allah selepas tiga bulan tersebut pihak JAIS akan terus memantau, akan terus memberikan bimbingan kepada beliau untuk terus menjadi seorang umat Islam yang benar-benar mematuhi prinsip-prinsip dan landas Islam yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Salehuddin Saidin bercakap kepada media pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah pada 5 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Salehuddin, tindakan Aliff Daniel mengamalkan ritual keagamaan lain sebelum ini mengundang kecaman masyarakat, justeru pengisytiharan taubat secara terbuka itu penting bagi memperlihatkan keinsafannya.

“Kita dapat nampak bahawa apabila beliau mengamalkan ritual-ritual dan sebagainya dapat banyak kecaman daripada masyarakat.

“Jadi disebabkan itu, bila adanya pengistiharan begini mesti mengisytiharkan beliau benar-benar telah bertaubat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat yang pernah terpengaruh dengan perbuatan berkenaan supaya menyedari bahawa amalan tersebut tidak berteraskan ajaran Islam sebenar.

Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adiknya melafaz Pengisytiharan Taubat (Istitabah) dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah pada 5 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, MAIS akan terus memantau dan meneliti isu membabitkan individu yang didapati terpesong daripada ajaran Islam bagi memastikan pendekatan sewajarnya dapat dilaksanakan.

Terdahulu, Aliff Daniel bersama ibu dan adiknya mengisytiharkan taubat secara terbuka menerusi majlis Istitabah sebagai sebahagian daripada proses pemulihan akidah.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang memerintahkan Aliff Daniel menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.

Perintah itu dikeluarkan selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut dengan kedua-dua tangan dirapatkan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.