SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Negeri menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, susulan pencerobohan yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan tanah berkenaan bukan tanah wakaf seperti didakwa, sebaliknya tanah perkuburan Islam yang telah diwartakan dan berada di bawah bidang kuasa JAIS.
Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata pewartaan dibuat mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965, sekali gus menolak dakwaan kononnya tanah tersebut adalah milik wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Kerajaan Negeri telah menetapkan tarikh akhir pengosongan sehingga 31 Mac. Jika gagal mematuhi arahan ini, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, tindakan pemutihan tapak telah pun dimulakan menerusi kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling Jaya, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi penguat kuasa berkaitan.
Beliau menegaskan, PDT Petaling Jaya bersama JAIS akan mengetuai operasi penguatkuasaan sekiranya arahan pengosongan tidak dipatuhi.
Dalam pada itu, katanya, JAIS, MAIS dan Kerajaan Negeri akan terus memperketat pemantauan bagi mengelakkan pencerobohan berulang terhadap tanah warta dan tanah wakaf pada masa hadapan.
Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan diminta segera menyalurkan maklumat kepada JAIS, MAIS, PDT atau PBT untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook telah memuat naik hantaran yang mendakwa tanah wakaf di bawah pengurusan MAIS telah diceroboh rumah ibadat.


