SHAH ALAM, 22 JAN: Polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung dakwaan penderaan seorang kanak-kanak autisme yang dipercayai dikurung di sebuah taska di Seksyen 3, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata laporan itu termasuk daripada ibu bapa kanak-kanak terbabit.
Menurut beliau, pihaknya turut merakam keterangan penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice, susulan pendedahan video berkaitan kes berkenaan.
“Kanak-kanak lelaki itu berusia 11 tahun dan telah dihantar ke taska berkenaan lebih empat tahun.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam kenyataan.
Ramsay berkata, pihak taska hanya menyerahkan sebahagian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis.
Bagaimanapun, katanya, polis akan melakukan rampasan bagi mendapatkan keseluruhan rakaman untuk tujuan siasatan menyeluruh.
Pada Selasa lalu, Caprice berkongsi beberapa video di media sosial yang memaparkan keadaan sebuah cawangan taska berkenaan di Shah Alam dalam keadaan kotor dan bersepah.
Video tersebut turut memaparkan seorang kanak-kanak autisme yang didakwa dibogelkan dan dikurung di dalam sebuah stor di pusat terbabit.
Susulan pendedahan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menjalankan siasatan ke atas premis berkenaan pagi semalam dan mendapati taska itu tidak berdaftar sebagai operator di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Keadaan premis berkenaan turut didapati tidak memuaskan, tidak kondusif serta gagal memenuhi ciri keselamatan yang ditetapkan, sekali gus berdepan tindakan undang-undang.
Semalam, EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Anfaal Saari berkata kejadian itu bukan yang pertama dan pihaknya pernah menerima laporan serta aduan berkaitan isu sama pada tahun lalu.


