Selangor sasar jadi hab ekonomi penjagaan Asia menjelang 2030

16 Okt 2026, 9:30 AM
Selangor sasar jadi hab ekonomi penjagaan Asia menjelang 2030
Selangor sasar jadi hab ekonomi penjagaan Asia menjelang 2030
Selangor sasar jadi hab ekonomi penjagaan Asia menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Selangor menyasarkan untuk menjadi hab ekonomi penjagaan di rantau Asia menjelang 2030, berikutan kemajuan sektor itu yang mendapat perhatian serta membuka peluang kerjasama dengan negara serantau.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata pendekatan Kerajaan Negeri memperkasa sektor berkenaan sejak beberapa tahun lalu turut menjadi rujukan negeri lain dan menarik minat negara jiran untuk mempelajari model yang dilaksanakan di Selangor.

Menurutnya, Indonesia antara negara yang menunjukkan minat menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada Julai lalu bagi meneroka kerjasama dalam sektor ekonomi penjagaan, termasuk mempelajari sistem yang dibangunkan Selangor.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap dalam program Hot Seat Session di Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Dasar kita menjadi kayu ukur negeri lain dan juga negara serantau. Sebagai contoh, pada Julai kita memeterai MoU dengan Indonesia, yang mahu hantar pelatih untuk mempelajari sektor ini dan mengetahui sistem kita, contohnya Sistem Pemetaan Pusat Jagaan Kanak-Kanak dan Warga Emas (SEJAGAT).

“Selain itu, kita juga berpotensi jalin kerjasama dengan Korea Selatan yang mahu melabur dari segi teknologi dan penggunaan AI (kecerdasan buatan). Semalam kita menukar MoU Nagoya Institute of Technology, Jepun (NiTech), bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

“Mereka miliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan bidang teknologi untuk membantu pesakit seperti strok. Mereka mahu prototaip atau model mereka digunakan dalam pasaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026, hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyaksikan pertukaran dokumen pada Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pada 2024, Selangor memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan 2024-2030 bagi memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga, khususnya menerusi pemerkasaan peranan wanita dalam sektor penjagaan.

Dasar itu merangkumi lima teras utama, iaitu advokasi dan promosi; tadbir urus dan kawal selia; pembangunan tenaga kerja penjagaan; pelaburan dan kerjasama; serta inovasi, teknologi dan data.

Anfaal berkata dasar berkenaan turut mengiktiraf peranan penjaga, khususnya wanita, sebagai komponen penting pembangunan ekonomi negeri, selain menyediakan sokongan supaya mereka dapat kekal atau kembali bekerja dalam sektor formal.

Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan penjagaan yang bersesuaian, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan portal Sistem Pemetaan Pusat Jagaan Kanak-Kanak dan Warga Emas SEJAGAT yang menggunakan teknologi AI.

Selain itu, garis panduan baharu bagi pusat jagaan dan taman asuhan yang melibatkan warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya turut diperkenalkan bagi menambah baik tadbir urus sektor ekonomi penjagaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.