Siasatan menyeluruh pusat jagaan didakwa abai kanak-kanak autisme

21 Jan 2026, 5:07 AM
Siasatan menyeluruh pusat jagaan didakwa abai kanak-kanak autisme

SHAH ALAM, 21 JAN: Siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap sebuah pusat jagaan di Seksyen 3, di sini, yang didakwa mengurung kanak-kanak autisme, termasuk meneliti status pendaftaran serta operasi premis berkenaan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata siasatan turut merangkumi penentuan lokasi sebenar kejadian sama ada melibatkan tadika atau pusat transit, memandangkan premis itu sebelum ini berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Kita akan semak pendaftarannya. Kalau kejadian berlaku dalam tadika, JPN akan ambil tindakan. Jika bawah pusat transit, ia dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan boleh kenakan tindakan tegas termasuk pemberhentian operasi.

“Kalau didapati ada pengabaian kanak-kanak dan membahayakan, JKM ada hak menutup atau hentikan operasi kerana premis tidak patuh kepada syarat keselamatan kanak-kanak. Apabila didapati membahayakan kesejahteraan, kesihatan, JKM sebagai badan berkuasa boleh ambil tindakan untuk melindungi kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata kejadian ini bukan yang pertama dan pihaknya pernah menerima laporan dan isu sama pada tahun lalu malah beliau sendiri pernah menziarahi keluarga kanak-kanak terbabit di kediaman mereka di Shah Alam.

“Pusat ini dakwa tawarkan penjagaaan untuk kanak-kanak OKU. Cuma sekarang kita kena siasat adakah pengusaha patuhi syarat operasi termasuk aspek pengambilan guru. Ada tak kepakaran atau diberi latihan mengurus kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Berikutan itu Anfaal menasihati semua pengusaha tadika swasta untuk mematuhi semua syarat ditetapkan termasuk pendaftaran agensi berkaitan selain mengambil tenaga kerja yang berkemahiran menjaga anak OKU.

“Ibu bapa juga perlu ambil maklum perkara ini. Kena semak sama ada taska atau tadika dipilih sudah berdaftar secara sah atau sebaliknya. Baru kita boleh yakin untuk serahkan anak dalam jagaan orang lain,” katanya.

Semalam, tular di media sosial video seorang kanak-kanak autisme dikurung dalam keadaan bogel di pusat jagaan berkenaan hingga mengundang kecaman warga maya.