Selangor pertimbang JPKK, Rukun Tetangga jadi 'mata dan telinga' lindungi kanak-kanak

19 Okt 2026, 6:00 AM
Selangor pertimbang JPKK, Rukun Tetangga jadi 'mata dan telinga' lindungi kanak-kanak
Selangor pertimbang JPKK, Rukun Tetangga jadi 'mata dan telinga' lindungi kanak-kanak
Selangor pertimbang JPKK, Rukun Tetangga jadi 'mata dan telinga' lindungi kanak-kanak

SHAH ALAM, 19 OKT: Kerajaan Negeri mempertimbangkan peluasan peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Rukun Tetangga serta persatuan penduduk bagi membantu mengenal pasti tanda awal penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata jaringan komuniti berkenaan berpotensi menjadi ‘mata dan telinga’ dalam meningkatkan kesedaran serta membantu masyarakat menyalurkan laporan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, cadangan itu masih pada peringkat awal, namun wajar diberikan perhatian susulan kebimbangan terhadap kes eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

"Disebabkan seriusnya laporan tentang CSAM ini, saya kira kita boleh perluaskan lagi skop tugas JPKK, Rukun Tetangga dan persatuan penduduk.

"Ancaman keselamatan kita bukan lagi di alam nyata, tetapi di alam maya," katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk Pemangsa di Sebalik Skrin, baru-baru ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari ketika ditemu bual di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Selayang pada 23 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Anfaal berkata premis atau pusat aktiviti komuniti yang digunakan untuk mesyuarat, rondaan keselamatan dan program kemasyarakatan boleh dimanfaatkan bagi memperluas peranan jaringan berkenaan.

Menurutnya, laporan berkaitan keselamatan kanak-kanak juga boleh disalurkan melalui jaringan komuniti sekiranya mekanisme sedemikian diwujudkan.

Beliau turut melihat keperluan memperluas kursus dan sesi penerangan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ancaman yang berlaku dalam ruang digital.

Katanya, pendekatan itu berpotensi menangani masalah kes yang tidak dilaporkan kerana masih terdapat mangsa dan keluarga yang tidak mengetahui saluran sebenar untuk membuat aduan.

"Sekiranya kita boleh libatkan lebih ramai yang faham tentang isu ini, mereka mungkin boleh mendekati ahli-ahli komuniti yang sebelum ini tidak tahu apa saluran sebenar untuk melaporkan.

"Jadi pada saya, menjadi mata dan telinga dan menjadi ruang untuk kita pelbagaikan lagi saluran," katanya.

Khidmat nasihat dan saluran pelaporan penting bagi menangani penderaan serta eksploitasi seksual kanak-kanak. - Gambar janaan AI

Dalam pada itu, Anfaal menegaskan kepentingan memperkukuh saluran pelaporan sedia ada termasuk Talian Kasih 15999 serta saluran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, penambahan terlalu banyak talian aduan dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyukarkan mereka mengenal pasti saluran yang perlu dihubungi.

"Sekiranya kita tambah satu lagi talian, ia akan menyebabkan kekeliruan. Sepatutnya kita perkukuhkan supaya semua orang tahu talian yang perlu dihubungi untuk mengadu," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mendidik kanak-kanak supaya berani melaporkan sebarang perlakuan yang menimbulkan rasa tidak selesa, lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu yang dikenali atau dipercayai.

“Yang menyedihkan adalah kebanyakan kes gangguan seksual ini dilakukan oleh orang yang dipercayai, orang dikenali... ahli keluarga sendiri,” katanya.

Ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 4 Ogos lalu, Anfaal mendedahkan sebanyak 3,747 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak direkodkan di negeri ini sepanjang 2021 hingga 2025.

Daripada jumlah itu, kes rogol mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,845 kes, diikuti amang seksual fizikal sebanyak 1,654 kes.

Kes amang seksual fizikal turut meningkat sebanyak 70 peratus sejak 2021, manakala peningkatan jumlah laporan juga dikaitkan dengan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk tampil membuat aduan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.