Wakaf Selangor salur lebih RM4 juta untuk masjid, sekolah, komuniti

17 Jan 2026, 5:43 AM
Wakaf Selangor salur lebih RM4 juta untuk masjid, sekolah, komuniti
Wakaf Selangor salur lebih RM4 juta untuk masjid, sekolah, komuniti
Wakaf Selangor salur lebih RM4 juta untuk masjid, sekolah, komuniti

SHAH ALAM, 17 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan lebih RM4 juta bagi menyokong pembangunan masjid, pendidikan dan projek komuniti di seluruh negeri sepanjang 2025.

Menurut PWS, sejumlah RM4,076,873 telah diluluskan bagi agihan wakaf fisabilillah yang memberi manfaat kepada pelbagai institusi termasuk masjid, surau, sekolah serta komuniti selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan ummah di Selangor.

“Kelulusan ini menyokong pembangunan masjid, surau, sekolah serta projek komuniti lain yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan ummah.

“PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pewakaf yang telah melazimi ibadah wakaf,” menurut kenyataan di Facebook.

PWS berkata sumbangan wakaf bukan sahaja membantu membangunkan infrastruktur dan memperkasakan pendidikan Islam malah menjadi amal jariah berterusan yang memberi impak jangka panjang kepada ummah.

Dalam pada itu, PWS berharap amalan wakaf terus diperkasakan sebagai instrumen penting dalam pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan sejagat.

Pada 7 Januari lalu, PWS mengumumkan telah merekodkan kutipan wakaf berjumlah RM80.041 juta sepanjang 2025, dengan wakaf tunai menyumbang RM13.437 juta dengan kutipan tertinggi diperoleh menerusi skim potongan gaji, selain sumbangan orang ramai dan perwakafan tanah.

Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS