SHAH ALAM, 7 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) merekodkan kutipan wakaf berjumlah RM80.041 juta sepanjang tahun 2025.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu dimaklumkan Pengerusi PWS yang baharu, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dalam kunjungan hormat yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kutipan tersebut, wakaf tunai menyumbang RM13.437 juta dengan kutipan tertinggi diperoleh menerusi skim potongan gaji, selain sumbangan orang ramai dan pewakafan tanah.
Amirudin berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkembangan beberapa projek wakaf yang sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan stesen minyak sebagai usaha menjana manfaat berterusan kepada masyarakat.

"Kami turut meneliti perkembangan beberapa projek wakaf yang sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan stesen minyak sebagai usaha menjana manfaat berterusan untuk masyarakat," katanya di Facebook.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai perbezaan antara wakaf dan zakat.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan inisiatif wakaf berasaskan komuniti seperti pembinaan pusat dialisis bagi memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati secara lebih meluas.
"Semoga segala ikhtiar ini terus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
Tan Sri Syed Zainal Abidin dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.


