SHAH ALAM, 6 FEB: Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negeri dengan pengurusan wakaf hartanah paling aktif.
Sejak tahun 2011, sebanyak 1,839 hartanah wakaf berjaya didaftarkan di negeri ini, melibatkan keluasan keseluruhan 1,931.37 ekar.
Anggaran nilai keseluruhan hartanah wakaf tersebut mencecah RM1.584 bilion, menunjukkan komitmen negeri dalam memelihara dan mengurus aset wakaf secara berkesan.
Menurut Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), bagi tahun 2025 sahaja, pendaftaran tanah wakaf melibatkan 88.37 ekar.
Keluasan tanah wakaf ini tertumpu di beberapa daerah utama seperti Sabak Bernam dengan 42.18 ekar, diikuti Kuala Langat 18.80 ekar dan Kuala Selangor 15.63 ekar.
Klang pula mencatat 3.78 ekar, Hulu Selangor 5.24 ekar, Gombak 2.21 ekar, manakala Petaling hanya 0.45 ekar dan Hulu Langat 0.08 ekar.

Prestasi pendaftaran hartanah wakaf dalam tempoh tiga tahun terakhir menunjukkan trend yang konsisten, dengan 102 pendaftaran melibatkan 72.24 ekar dan bernilai RM36.225 juta pada 2023.
Pada 2024, jumlah pendaftaran meningkat kepada 133 pendaftaran dengan keluasan 86.98 ekar bernilai RM27.501 juta.
Sementara itu pada 2025, sebanyak 110 pendaftaran dicatatkan dengan keluasan 88.37 ekar dan bernilai RM20.230 juta.
Antara contoh projek tanah wakaf yang telah dimanfaatkan termasuk pembangunan Stesen Minyak Wakaf Petron Sungai Merab, Sepang, yang mula beroperasi sepenuhnya pada 29 Disember lalu.
Selain itu, hartanah wakaf turut disewakan untuk manfaat berterusan seperti masjid, sekolah agama, maahad tahfiz serta aktiviti pertanian.
Projek lain adalah projek pembangunan pendidikan dan kebajikan termasuk perancangan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor dan pusat jagaan warga emas.
Terdahulu Pengerusi PWS, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir membentangkan dialog ini sempena Chairman’s Dialogue: Sinergi Wakaf Selangor Bersama GLC & Korporat yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel and Suites, Shah Alam, pada 3 Februari lalu.
PWS memaklumkan, program itu menjadi platform strategik bagi memperkukuh kefahaman, kepercayaan serta sinergi pembangunan wakaf di peringkat negeri.
"Dialog itu menekankan peranan wakaf sebagai instrumen ekonomi sosial yang relevan, mampan dan mampu digerakkan secara strategik bersama ekosistem korporat pada masa kini.
"Pendekatan ini selari dengan aspirasi PWS untuk mengarusperdanakan wakaf dalam landskap pembangunan ekonomi dan sosial Selangor secara inklusif dan berdaya tahan," menurut agensi itu lagi.


