PWS teroka potensi kerjasama pembangunan wakaf bersama Oman

11 Jul 2026, 8:58 AM
PWS teroka potensi kerjasama pembangunan wakaf bersama Oman
PWS teroka potensi kerjasama pembangunan wakaf bersama Oman
PWS teroka potensi kerjasama pembangunan wakaf bersama Oman

SHAH ALAM, 11 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sedia meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan projek wakaf berimpak tinggi bersama bank Kesultanan Oman, Sohar Islamic.

PWS menerusi Facebook memaklumkan usaha itu susulan program lawatan kerja dan libat urus bagi pembangunan projek wakaf oleh delegasi Oman pada Khamis lalu.

Menurut agensi itu, delegasi dibawa melawat beberapa projek wakaf berpotensi, antaranya Saudagar Nanas Agrofarm dan Stesen Minyak Wakaf Sungai Merab, yang menjadi contoh pelaksanaan aset wakaf secara produktif dan mampan.

“Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan projek wakaf berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat berterusan kepada ummah melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Delegasi Kesultanan Oman diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr Ridzwan Bakar, manakala PWS diketuai Pengerusi Wakaf Selangor Energy (WSE) Dato' Misri Idris dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Mohd Huzairi Hamdan.

Tambah PWS, lawatan tersebut membuka ruang kepada perbincangan strategik berkaitan model pembangunan wakaf komersial, pengurusan aset wakaf secara lestari serta peluang pelaburan sosial Islam.

“PWS komited untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai institusi di dalam dan luar negara bagi memperkasakan ekosistem wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi Islam yang progresif, mampan dan berdaya saing,” katanya.

PWS ditubuhkan secara rasmi pada 11 Januari 2011 atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi memperkasa pengurusan harta wakaf agar setanding dengan amalan pengurusan sistem zakat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.